SUTL dan Genting Malaysia bangunkan marina baharu di Langkawi

4 Sep 2026 • 5:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SUTL dan Genting Malaysia bangunkan marina baharu di Langkawi Image from: SUTL dan Genting Malaysia bangunkan marina baharu di Langkawi liza04/09/2026 - 17:41 ONE°15 Marina Langkawi, Malaysia Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Sept – SUTL Enterprise Limited menerusi ONE°15 Marina bekerjasama dengan Resorts World Langkawi milik Genting Malaysia Berhad untuk membangunkan ONE°15 Marina Langkawi.

 

Pembangunan marina baharu itu dijangka memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai hab pelancongan marin dan pelayaran kapal layar utama di Asia Tenggara.

 

Marina itu akan mempunyai lebih daripada 90 ruang tambatan serta berupaya menempatkan kapal layar mewah sehingga 140 kaki panjang dengan kapal layar pertama dijangka diterima pada separuh kedua 2027.

 

ONE°15 Marina Langkawi akan menawarkan kemudahan kepada pemilik kapal layar, pengendali perkhidmatan sewaan kapal layar dan pelancong rekreasi, seterusnya membantu memperluaskan infrastruktur pelayaran di rantau ini.

 

Pembangunan itu juga dijangka menawarkan pengalaman pelancongan marin yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan aktiviti pelayaran, rekreasi dan kemudahan hospitaliti di Resorts World Langkawi.

 

Memperkukuh Tarikan Pelancongan Marin Langkawi

ONE°15 Marina Langkawi akan menjadi pintu masuk ke kawasan pelayaran di sekitar pulau dengan menawarkan perkhidmatan sewaan kapal layar, aktiviti jelajah pulau, pelayaran matahari terbenam serta pengalaman marin eksklusif mengikut keperluan pelanggan.

 

Pengunjung turut mendapat akses mudah kepada kemudahan penginapan, makanan dan minuman serta hiburan yang disediakan di Resorts World Langkawi.

 

t
Wakil pengurusan kanan Genting Malaysia Berhad dan SUTL Enterprise Limited bergambar bersama di
ONE°15 Marina Club Singapore susulan pengumuman kerjasama strategik bagi membangunkan ONE°15
Marina Langkawi.

 

Langkawi dipilih sebagai lokasi pembangunan itu kerana kedudukannya yang strategik di sepanjang Laut Andaman, antara Singapura dan Phuket, menjadikannya persinggahan semula jadi bagi kapal layar yang melalui laluan pelayaran utama Asia Tenggara.

 

Pulau yang dikenali sebagai Permata Kedah itu turut mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur pelancongan, rangkaian penerbangan antarabangsa dan status bebas cukai, selain terkenal dengan keindahan alam semula jadinya.

 

Presiden Genting Malaysia Berhad, Lee Thiam Kit berkata Resorts World Langkawi komited untuk mencipta pengalaman unik yang menonjolkan keindahan dan keistimewaan Langkawi kepada pengunjung.

 

Melengkapkan Rangkaian Marina Serantau

Menurut beliau, kerjasama dengan ONE°15 Marina diharap dapat memperkukuh daya tarikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan pulau bertaraf antarabangsa, selain memberi lebih banyak peluang kepada pengunjung untuk meneroka pulau dan perairan di sekitarnya.

 

“Kerjasama itu turut menyokong aspirasi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia melalui pengembangan produk dan pengalaman pelancongan.

 

“Pada masa sama, pembangunan marina tersebut berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan mampan sektor maritim dan rekreasi di Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SUTL Enterprise Limited, Arthur Tay berkata, pembangunan ONE°15 Marina Langkawi merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat itu memperluaskan rangkaian marina di Asia.

 

Beliau berkata, kedudukan marina baharu itu di antara ONE°15 Marina Sentosa Cove di Singapura dan ONE°15 Marina Panwa Phuket di Thailand akan melengkapkan laluan pelayaran semula jadi di rantau ini, sekali gus membolehkan komuniti pemilik kapal layar merancang perjalanan yang lebih lancar antara destinasi berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved