

Jenama kenderaan elektrik (EV) China, Leapmotor, telah memperkenalkan buat pertama kalinya SUV elektrik segmen C terbaru mereka, Leapmotor B10 di pameran automotif Paris Motor Show 2024.
Leapmotor B10 dilihat bakal memberikan saingan yang sengit kepada model seperti Kia EV3 dan Hyundai Kona walaupun perlu berdepan dengan cabaran tarif dari Kesatuan Eropah (EU) terhadap pengeluar EV China.
Platform Canggih dan Teknologi Terkini



Dari segi rekaan, B10 menampilkan gaya luaran yang ringkas dan moden, mirip model lebih besar iaitu C10. Model ini dibina berdasarkan platform LEAP 3.5, teknologi terkini daripada Leapmotor yang dilengkapi pelbagai ciri moden yang biasa ditawarkan oleh EV China.
Antara ciri penting yang terdapat pada model ini ialah sistem bantuan pemanduan canggih (ADAS), kokpit digital yang boleh diubah suai, sambungan pintar dan banyak lagi. Menariknya, B10 juga ditawarkan dalam dua varian iaitu elektrik sepenuhnya (EV) dan versi Range-Extended Electric Vehicle (REEV) yang dilengkapi enjin 1.5 liter.
Spesifikasi dan Prestasi Masih Belum Didedahkan

Leapmotor dan Stellantis belum mendedahkan spesifikasi penuh model ini, termasuk jarak pemanduan dan prestasi. Ruang dalaman B10 juga tidak dipamerkan, menunjukkan model ini mungkin masih dalam fasa akhir pembangunan. Ketika pameran di Paris, model ini dipamerkan dalam keadaan tingkapnya yang ditutup rapat dan digelapkan.
Namun, kita boleh menjangka bahawa ruang dalaman B10 akan mengekalkan konsep minimalis yang luas dan dilengkapi teknologi yang sama seperti model C10.
Pelancaran di Eropah dan Jangkaan Harga




Stellantis dan Leapmotor memaklumkan bahawa B10 akan mula dipasarkan di Eropah pada tahun 2025. Walaupun harga belum diumumkan, sumber dalam talian mendedahkan bahawa ia mungkin akan dijual pada harga di bawah €30,000 (~RM141,114).
Sebagai model global, tidak mustahil ia akan turut memasuki pasaran Malaysia dalam masa beberapa tahun lagi.


