Beberapa minggu yang lalu kami ada memperlihatkan pandang dan panduan pertama SUV elektrik terbaru yang akan memasuki pasaran tempatan, iaitu Leapmotor C10.

Leapmotor merupakan jenama kereta elektrik dari China, dan pada tahun lepas mereka merupakan salah satu antara tiga jenama EV baharu di China, malah sehingga Julai 2024 telah menjual lebih dari 460,000 kereta elektrik. Kini di bawah Stellantis, iaitu kumpulan automotif yang turut memayungi jenama-jenama besar seperti Peugeot, Maserati, Citroen, mereka akan menjadi jenama pertama di bawah kumpulan ini yang akan menawarkan kereta elektrik pertama untuk pasaran tempatan.

Leapmotor C10 merupakan sebuah SUV elektrik yang mempunyai saiz menghampiri Proton X90, namun hanya mempunyai lima tempat duduk. Ia dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm SA8155P, dipacu oleh motor elektrik Permanent Magnetic Synchronic yang memberikan kuasa 160kW, (218PS) dan 320Nm tork, mempunyai jarak perjalanan sehingga 477km dan boleh dicaj 30-80% dalam masa 30 minit sahaja menggunakan pengecasan pengecas DC 84kW. Gabungan ini membolehkan kenderaan elektrik ini untuk memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 7.5 saat sahaja.

Leapmotor C10 juga tampil dengan bateri Lithium-Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 69.9kWh dengan Sistem Pengurusan Bateri AI (BMS) yang dipasang sendiri. Teknologi AI ini mampu mengurangkan masalah kekurangan kapasiti bateri, memanjangkan hayat bateri, disamping memastikan kestabilan dan keselamatan untuk penggunaan jangka masa panjang.

Dari segi sistem inforia, Leapmotor C10 dilengkapi dengan skrin bersaiz 14.6 inci yang dikuasakan oleh Leap OS 4.0 dan menawarkan akses berpusat kepada kenderaan ini. Paparan skrin instrumen C10 pula hadir dengan saiz 10.2 inci memaparkan segala maklumat penting pemanduan. Urusan memarkir dan melalui laluan sempit dibantu dengan kamera panoramik 360 darjah dan pandangan dari atas.

Untuk keselesaan pemanduan, Leapmotor C10 juga hadir dengan mod ECO, Comfort, Sport dan Custom yang memenuhi pelbagai jenis keperluan pemanduan. Untuk keselesaan penumpang, konsol hadapan dilengkapi pad pengecasan tanpa wayar 15 watt, satu ruang penyimpanan barang, satu soket 12 volt, serta palam kuasa USB Type-C 60 Watt dan USB Type-A. Penumpang belakang boleh mengecas peranti pintar mereka menggunakan dua palam USB Type-C atau Type-A.

Kebanyakan kenderaan moden hari ini tampil dengan ciri-ciri keselamatan yang menyeluruh. Untuk Leapmotor C10, ia dilengkapi dengan teknologi keselamatan kenderaan ADAS Level 2 yang hadir dengan 16 ciri-ciri keselamatan seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Centering Control (LCC), Traffic Jam Assist (TJA), Front Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind Spot Detection (BSD), Door Opening Warning (DOW), Emergency Lane Keeping (ELK), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist (LKA), Rear Collision Warning (RCW), Rear Cross-Traffic Alert And Braking (RCTA + RCTB), Intelligent Speed Assist (ISA), Driver Drowsiness Alert Warning (DDAW) dan Advanced Driver Distraction Warning (ADDW).

Stellantis Malaysia mengatakan bahawa tempahan untuk Leapmotor C10 ini sudahpun dibuka kepada umum dan hadir dengan harga pengenalan RM149,000 untuk semua tempahan yang dibuat bermula hari ini sehingga 30 November 2024. Jika anda menempah kenderaan ini selepas tarikh tersebut, harganya akan meningkat ke RM159,000.
SUV elektrik baharu ini juga hadir dalam pilihan warna Glazed Green, Pearly White dan Canopy Grey atau Tundra Grey, serta dua warna dalaman iaitu Criollo Brown khas untuk warna Glazed Green dan Midnight Aurora.


