SUV EV Xiaomi YU7 Mula Dijual – Motor 690 HP dan Harga Bermula RM 150,000

TechnologyDigitalCars
27 Jun 2025 • 12:08 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Seperti dijanjikan, Xiaomi YU7 dilancarkan sebagai SUV EV pertama iaitu mereka semalam dan seperti SU7 hadir dengan prestasi tinggi. Tiga model ditawarkan iaitu Xiaomi YU7, Xiaomi YU7 Pro dan Xiaomi YU7 Max.

image is not available

Rekaan hadapan adalah mirip SU7 dengan hud hadapan aerodinamik dan lampu membuatkan “wajah” seperti seekor ikan jerung. Lampu brek memanjang pula digunakan pada keseluruhan bahagian belakang seakan hibrid rekaan Dodge Charger dan Aston Martin. Untuk keperluan swapandu sistem komputer NVIDIA Drive AGX Thor sebagai otak PU7 dan Snapdragon 8 Gen 3 pula untuk kawalan sistem info hibur kenderaan.

image is not available

Xiaomi YU7 ialah model paling asas yang dilengkapi hanya motor pada roda belakang 235 kilowatts (320 HP), tork 528 Nm dan kelajuan maksimum 240 km/j. Kenderaan boleh memecut daripada 0-100 dalam masa 5.88 saat

Xiaomi YU7 Pro pula ialah model AWD dwimotor dengan kuasa 365 kW (496 HP), tork 690 Nm dan kelajuan maksimum 240 km/j. Ia boleh memecut daripada 0-100 km/j dalam masa 4.27 saat.

image is not available

Akhir sekali ialah YU7 Max juga sebuah model AWD dwimotor dengan kuasa 508 kW (690 HP), tork 866 Nm dan kelajuan maksimum 253 km/j. Ia boleh memecut daripada 0-100 km/j dalam masa 3.23 saat.

YU7 dan YU7 Pro kedua-duanya dilengkapi bateri 96.3 khW LPF yang menyokong platform pengecasan 800V. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 835 km CLTC untuk YU7 dan 770 km CLTC untuk YU7 Pro. YU7 Max pula dilengkapi pek bateri 101.7 kWh NMC dengan jarak perjalanan 760 km CLTC. Menerusi pengecasan pantas DC, bateri boleh dicas daripada 10-80% dalam masa 21 minit.

image is not available

Paparan pemanduan utama ialah skrin HyperVision selebar 1.1 meter yang diletakkan memanjang pada bahagian bawah cermin hadapan. Ia terdiri daripada tiga skrin Mini-LED yang digabungkan. Di konsol tengah disertakan satu skrin kawalan utama dengan dua lagi skrin diletakkan di belakang kerusi hadapan dan satu lagi skrin di tengah-tengah untuk kawalan penumpang. Terdapat sebuah peti ais terbina dan juga pengecas nirwayar 80W terbina pada konsol tengah.

image is not available

Harga jualan ketiga-tiga model adalah seperti di bawah.

Xiaomi YU7 – RMB 253,500 (~RM 149,454)
Xiaomi YU7 Pro – RMB 279,900 (~RM 165,018)
Xiaomi YU7 Max- RMB 329,900 (~RM 194,497)