Dengan penekanan terhadap penggunaan tenaga lestari bertambah, semakin banyak kenderaan PHEV (Plug in Hybrid) diperkenalkan di Malaysia. Hari ini Denza yang merupakan jenama mewah menerusi BYD Malaysia telah memperkenalkan Denza B8, iaitu SUV mewah dengan enjin PHEV, menggunakan tenaga petrol dan juga elektrik.

Denza B8 merupakan model kedua yang ditawarkan di Malaysia selepas Denza D9 yang merupakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang sarat dengan ciri-ciri premium. Denza B8 ini merupakan SUV mewah yang juga sesuai untuk kegunaan lasak menerusi fungsi DMO – Dual Mode Off Road. Fungsi ini membolehkan Denza B8 dibawa masuk meredah hutan rimba kerana pacuannya boleh dipilih mengikut keadaan jalan.

Sebagai PHEV, ia dikuasakan dengan enjin petrol 2.0T dan dua motor elektrik di bahagian depan dan hadapan, memberikan jumlah kuasa 450 kW / 612 PS dan 760 Nm tork. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, dengan penggunaan tenaga petrol sebanyak 9.89 L / 100 KM. Untuk penggunaan elektrik, bateri BYD Blade LFP sebesar 36 kWh memberikan jarak perjalanan sejauh 115KM dan dengan gabungan petrol, Denza B8 mempunyai jarak perjalanan sehingga 1,040 KM

Sebagai kenderaan lasak juga, beberapa fungsi membolehkan kenderaan ini sesuai dibawa berekreasi. Antaranya fungsi Camping Mode padanya yang membolehkan Denza B8 ini diletakkan mendatar walau pada permukaan yang curam, menggunakan suspensi hidraulik Disus. Suspensi Disis ini juga mempunyai peredam aktif 140mm bagi menambah aerodinamik SUV mewah ini.

Melengkapkan SUV PHEV yang mewah ini adalah ciri-ciri seperti 18 pembesar suara Devialet, paparan inforia bersaiz 17.3-inci dengan resolusi 2.5K, 90% kemasannya menggunakan bahan kulit premium, peti sejuk dan pelbagai lagi.

Denza B8 ditawarkan pada dua versi iaitu Premium dan juga Dynamic, dengan perbezaan pada tempat duduk. Versi premium yang dijual pada harga RM 518,800 menawarkan 6 tempat duduk, manakala versi Dynamic mempunyai 7 tempat duduk ditawarkan pada barga RM 458,800. Kedua-duanya turut membawakan jaminan selama 6 tahun atau jarak perbatuan 150,000KM, 7 kali penyelenggaran percuma dalam tempoh 6 tahun, dan jaminan bateri serta unit pacuan elektrik selama 8 tahun atau jarak perbatuan 160,000km.


Dengan pengenalan Denza B8 ini menandakan kesinambungan penawaran kenderaan mewah dengan gabungan tenaga lestari dari BYD untuk pasaran Malaysia. Anda boleh hadir ke cawangan dan ruang pameran Denza di seluruh Malaysia untuk melihat Denza B8 ini.


![DENZA Malaysia Lancar DENZA B8 Baharu, SUV Hibrid Super Dual Mode Off Road Pertama Di Malaysia [Foto]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/BK-Denza-B8-3-800x467.jpg?t=1779345373)

