Swift Cold Chain, Moon-Tech dari China bangunkan hab logistik rantaian sejuk di Shah Alam

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2025 • 3:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Swift Cold Chain, Moon-Tech dari China bangunkan hab logistik rantaian sejuk di Shah Alam

image is not available

04/09/2025 - 15:37

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept Moon Environment Technology Co Ltd, penyedia utama rumusan penyejukan industri dari China, menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan Swift Cold Chain Sdn Bhd, anak syarikat Swift Haulage Berhad untuk membangunkan pusat penyimpanan sejuk dan pengedaran logistik berteknologi tinggi di Hab Logistik Anatarabangsa Shah Alam.

Kerjasama itu dianggap sebagai langkah penting dalam memacu inovasi hijau serta menyokong pertumbuhan sektor logistik serantau.

Perjanjian itu dimeterai melalui majlis menandatangani kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif Swift Cold Chain, Tan Nee Phing dan Ketua Pegawai Eksekutif Moon-Tech, Zhao Baoguo.

Majlis turut disaksikan barisan pengurusan kanan kedua-dua syarikat, sekali gus menyerlahkan komitmen bersama untuk mendorong penyelesaian penyejukan yang cekap tenaga serta mampan dalam industri rantaian sejuk.

Fasa pertama pembinaan pusat berkenaan dijangka siap tahun ini dan akan mula beroperasi pada suku pertama 2026.

Lokasi tersebut adalah hab logistik pertama di Malaysia yang menerima pensijilan hijau dan antara yang terbesar di rantau ASEAN.

Dengan akses strategik ke rangkaian pengangkutan utama serta zon perindustrian, ia dijangka menjadi pusat pengedaran utama rantaian sejuk bagi pasaran domestik dan serantau.

Pusat penyimpanan sejuk baharu Swift Cold Chain di Shah Alam itu mampu menampung sekitar 10,000 palet menggunakan teknologi penyejukan mesra alam berasaskan ammonia dan karbon dioksida yang tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

image is not available
Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam

Langkah itu turut memastikan prestasi bertaraf dunia serta kecekapan tenaga tinggi, seiring usaha global ke arah nyahkarbon dan pembangunan mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Moon Tech, Zhao Baoguo berkata, kerjasama itu bukan sekadar projek tetapi satu pakatan strategik antara dua peneraju industri.

“Pusat penyimpanan pintar, cekap dan mesra alam ini akan memenuhi keperluan rantaian sejuk Malaysia yang semakin berkembang serta menjadi simbol kerjasama China-Malaysia.

“Ini hanyalah permulaan ke arah perkongsian strategik lebih menyeluruh antara kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Swift Cold Chain, Tan Nee Phing menegaskan kerjasama dengan Moon-Tech akan memperkukuh visi syarikat dalam memastikan kecemerlangan operasi.

“Moon-Tech menyediakan teknologi penyejukan yang sudah terbukti dan kepakarannya. Pelaburan ini adalah satu langkah strategik untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan daya saing Swift Cold Chain dalam industri,” katanya.

Menurutnya, kerjasama ini bukan sahaja memberi nilai kepada operasi syarikat tetapi juga kepada pelanggan dan pihak berkepentingan yang berhubung dengan Swift Cold Chain.

Melalui perjanjian itu, Moon-Tech komited menggerakkan sumber, bakat dan teknologi terbaik untuk menjayakan projek berkenaan dengan piawaian kualiti serta keselamatan yang tinggi. - DagangNews.com

standard