Southern Catalyst, Archisen bangunkan hab pertanian moden RM500 juta di Johor

04/09/2025 - 12:55
Gambar ilustrasi hab pertanian moden Southern Catalyst di Sedenak, Johor Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Sept – Southern Catalyst Sdn Bhd, syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, memperkukuh agenda pembangunan pertanian moden negara dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama firma agritek dari Singapura, Archisen bagi membangunkan hab pertanian bersepadu yang moden di Ladang Air Manis, Sedenak, Johor.
Pembangunan seluas 80.9 hektar itu terletak dalam kawasan perancangan induk Southern Catalyst seluas 1,189.8 hektar di Sedenak dan dijangka menarik pelaburan bernilai sehingga RM500 juta dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurut Southern Catalyst, hab pertanian moden itu bakal menampilkan ekosistem menyeluruh bagi menarik pemilik ladang serta membuka sumber pendapatan baharu merentasi rantaian nilai pertanian.
Ia turut menawarkan akses kepada pasaran lebih luas, program latihan dan pembangunan tenaga kerja, insentif pelaburan yang kompetitif, selain menyediakan persekitaran operasi kos efektif untuk pemain industri.
“Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja memperkasakan petani, malah mampu menjadikan Johor sebagai peneraju serantau dalam sektor pertanian moden,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Southern Catalyst berkata, hab pertanian berkenaan juga merupakan sebahagian daripada ekosistem lebih besar industri pemprosesan makanan di bawah inisiatif Daerah Inovasi Southern Catalyst (SCID).
Ketua Pegawai Operasi Southern Catalyst, Nazree Abu Kassim berkata, kerjasama strategik dengan Archisen ini melangkaui sektor pertanian semata-mata kerana ia memberi tumpuan kepada pembinaan ekosistem produk pertanian bernilai tambah.
“Pembangunan ini mengintegrasikan inovasi, memperkukuh daya tahan sektor dan memacu peluang jangka panjang untuk Johor serta rantau sekitarnya.
“Sebagai pemaju induk SCID, Southern Catalyst berkata, pihaknya bangga dapat menyokong keutamaan nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta agenda Maju Johor,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Archisen, Vincent Wei berkata, pihaknya teruja dapat membawa kepakaran teknologi pertanian inovatif ke Malaysia menerusi kerjasama dengan Southern Catalyst.
“Usaha ini akan memperkukuh ekosistem pertanian Johor, membuka peluang pertumbuhan baharu untuk para petani serta menghubungkan mereka dengan jaringan pasaran serantau,” katanya.
Melalui pembangunan Hab Pertanian Moden dalam daerah inovasi berkenaan, Southern Catalyst yakin ia mampu memacu pertumbuhan industri, memperkukuh sekuriti makanan negara, selain mengangkat inovasi hijau dan digital.
Langkah itu juga sekali gus meletakkan Johor sebagai hab serantau untuk pembangunan mampan dan inklusif, khususnya dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ). - DagangNews.com
standard

