
IPOH – Polis Perak berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM46,326,715.88 tahun ini dengan syabu, ekstasi, heroin dan ganja merupakan jenis rampasan tertinggi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, bagi bahagian perundangan pula, sebanyak 4,529 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,327 kertas siasatan telah dituduh iaitu pencapaian sebanyak 96 peratus. Bagi sitaan harta pengedar-pengedar dadah tindakan di bawah Akta Perlucuthakan Harta 1988 terhadap kesemua pengedar-pengedar dadah yang ditangkap, ia menghasilkan rampasan pelbagai jenis harta benda termasuk rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan akaun dalam bank bernilai RM4,357,470.06,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri majlis pelupusan barang kes dadah dan ketum di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak berjaya menangkap 12,916 pesalah dadah bagi tempoh Januari hingga 10 Ogos lalu.
“Bagi tangkapan pengedaran dadah, seramai 1,934 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan mengedar dadah iaitu peningkatan sebanyak lapan peratus atau 139 orang berbanding seramai 1,795 orang bagi tempoh sama pada 2025. Daripada jumlah tersebut, seramai 299 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup,” katanya.
Mohd. Alwi berkata, seramai 68 orang pula telah ditangkap di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
“Kebanyakan mereka ini merupakan dalang atau pun perancang serta financier dalam sindiket yang telah ditumpaskan pada 2026. Bagi tangkapan memiliki dadah, seramai 4,482 orang telah ditangkap iaitu penurunan sebanyak 0.01 peratus berbanding 4,509 orang bagi tempoh yang sama pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata, bagi tangkapan urin pula, seramai 6,432 orang telah ditangkap iaitu penurunan sebanyak empat peratus berbanding 6,697 orang bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Syabu, heroin, ganja antara ‘top’ dadah dirampas polis Perak appeared first on Kosmo Digital.






