Syafinaz dilantik semula sebagai Profesor Adjung Tersohor UPSI

LocalMusic
13 Aug 2026 • 11:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

SYAFINAZ SELAMAT

TANJUNG MALIM: Pengalaman luas Datuk Syafinaz Selamat dalam bidang muzik dan seni persembahan terus mendapat pengiktirafan apabila dilantik semula sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, pelantikan bagi penggal kedua itu berkuat kuasa selama dua tahun bermula 1 Ogos lalu hingga 31 Julai 2028 selepas penyanyi dan guru vokal berkenaan telah dilantik sebagai Profesor Adjung fakulti tersebut bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.

Katanya, akademik dan industri merupakan elemen penting dalam usaha UPSI melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai penguasaan ilmu akademik malah memiliki kemahiran praktikal, kreativiti dan nilai profesional yang diperlukan dalam industri kreatif.

“Pelantikan semula itu membuktikan pengiktirafan universiti terhadap kepakaran dan pengalaman luas Syafinaz dalam bidang muzik dan seni persembahan khususnya dalam pembangunan bakat serta pendidikan muzik yang boleh dimanfaatkan untuk memperkayakan ekosistem akademik universiti.

“Penglibatan tokoh industri seperti beliau penting dalam memastikan pendidikan muzik sentiasa mempunyai hubungan yang kukuh dengan perkembangan industri sebenar sekali gus memberi pendedahan profesional yang lebih luas kepada pelajar,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Dekan FMSP, Prof. Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani berkata, sepanjang tempoh pelantikan pertama, Syafinaz telah memberikan sumbangan yang signifikan menerusi pelbagai aktiviti akademik dan artistik yang melibatkan warga fakulti serta pelajar.

“Sepanjang tempoh pelantikan terdahulu, beliau terlibat dalam pelbagai aktiviti akademik dan artistik antaranya sebagai penyelia bersama pelajar Doktor Falsafah (Persembahan Muzik) selain menjadi penceramah bagi seminar berkaitan asas pengeluaran vokal dan mengendalikan kelas pakar berkaitan muzik,” katanya.

Jelasnya, kepakaran ikon seni suara negara itu turut dimanfaatkan dalam persediaan deVokalis Choir bagi menyertai Busan Choral Festival 2026 khususnya dalam aspek pembangunan vokal, interpretasi dan peningkatan kualiti persembahan. – UTUSAN

The post Syafinaz dilantik semula sebagai Profesor Adjung Tersohor UPSI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved