Syafiq sedia galas tugas di Piala Negara-Negara

2 Jun 2025 • 7:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Syafiq mahu memberikan aksi terbaik pada kejohanan Piala Negara-Negara yang berlangsung di laman sendiri.

PAKAR pukulan sudut penalti negara, Syed Syafiq Syed Cholan bertekad untuk menampilkan aksi terbaik sekiranya diturunkan dalam kejohanan Piala Negara-Negara yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 15 hingga 21 Jun ini.

Syafiq, yang kini kembali cergas sepenuhnya selepas pulih daripada kecederaan lutut kanan, menyifatkan kejohanan di laman sendiri itu sebagai peluang terbaik untuk membantu skuad Speedy Tigers menyerlah di pentas antarabangsa.

“Saya sasarkan sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap perlawanan.

“Jadi, saya perlu menggandakan usaha untuk mencapai tahap prestasi terbaik,” katanya yang bermain di posisi pertahanan.

Kehadiran semula pemain berusia 27 tahun itu dijangka menjadi tonik tambahan buat ketua jurulatih, Sarjit Singh, khususnya dalam memperkukuh aspek pukulan sudut penalti yang merupakan senjata utama Malaysia dalam banyak kejohanan terdahulu.

Syafiq sebelum ini tidak menyertai Jelajah Korea Selatan akibat kecederaan, namun kembali memperkuatkan pasukan semasa Jelajah Australia pada April lalu.

“Jelajah Australia memberi saya banyak keyakinan, terutamanya dalam aspek pukulan sudut penalti. Ia membantu saya meningkatkan prestasi peribadi,” ujarnya.

Dalam siri tersebut, Syafiq mencatatkan empat jaringan dalam enam perlawanan.

Edisi ketiga Piala Negara-Negara kali ini menghimpunkan lapan pasukan termasuk juara bertahan, New Zealand, Perancis, Wales, Jepun, Korea Selatan, Afrika Selatan, Pakistan dan tuan rumah, Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved