Syahredzan & Rara akan saman ADUN PN atas dakwaan fitnah di Facebook

LocalPolitics
1 May 2025 • 9:26 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Dua Ahli Parlimen daripada DAP, Syahredzan Johan (Bangi) dan Young Syefura Othman (Bentong), memaklumkan bahawa mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Dato’ Jasri Jamaludin daripada Perikatan Nasional (PN), berhubung satu kenyataan di media sosial yang didakwa berunsur fitnah.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, mereka kesal dengan satu hantaran Facebook oleh Dato’ Jasri yang antara lain menggelar mereka sebagai “sukarelawan untuk jadi pembelot bangsa”, selain kenyataan lain yang dianggap memfitnah dan tidak berasas.

“Kami memandang serius perkara ini. Sebelum ini, kami sering menjadi sasaran fitnah oleh penyokong PN di alam maya. Namun, kali ini ia datang daripada seorang ADUN sendiri,” ujar mereka.

Tambah mereka, tindakan itu lebih mengecewakan kerana dilakukan oleh seorang wakil rakyat beragama Islam, sejurus tamatnya bulan Syawal yang sepatutnya membawa kepada semangat damai dan hormat.

Susulan itu, kedua-duanya memaklumkan telah mendapatkan nasihat guaman dan akan memulakan proses undang-undang terhadap ADUN terbabit. Mereka turut menasihati pemimpin PN lain agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di ruang awam.

“Jangan lupa bahawa sebelum ini terdapat beberapa pemimpin PN yang telah diarahkan membayar pampasan oleh mahkamah kerana memfitnah,” tegas mereka.

Untuk rekod, pada 7 April lalu, Syahredzan dan Young Syefura pernah menyatakan hasrat untuk mendekati lebih ramai anak muda Melayu bagi menyertai DAP dan mengubah tanggapan negatif terhadap parti itu.