
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Sabah sama ada pada pilihan raya atau membentuk kerajaan perlu mempunyai tatakelola baik, menghapuskan rasuah dan komited membela nasib rakyat.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, sesiapa sahaja yang ingin bekerjasama dengan PH perlu tunduk kepada syarat berkenaan.
Jelasnya, beliau bersikap dan ikhlas untuk bekerjasama sekiranya pihak tersebut mempunyai niat yang jelas serta bekerja dengan ikhlas supaya matlamat untuk membangunkan Sabah tercapai.
“Sesiapa sahaja yang akan bekerjasama dengan kita (PH) mesti tunduk kepada syarat ini… guna kuasa yang ada untuk membela nasib rakyat," kata beliau, lapor Bernama.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sesi Rapat Umum dan Pengumuman Calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Kinabalu, malam tadi.

Pada majlis berkenaan, Anwar yang juga Presiden PKR memperkenalkan 10 calon yang bakal mewakili parti itu pada PRN Sabah ke-17, selain mengumumkan PH bakal bertanding di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Antara calon ialah anak lelaki Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, iaitu Datuk Yamani Hafez Musa yang juga bekas Ahli Parlimen Sipitang, akan bertanding di kerusi DUN Sindumin.
PKR turut mengetengahkan calon baharu iaitu Datuk Ruji Ubi, yang juga bekas pegawai kanan kerajaan yang pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan untuk bertanding di Merotai.
Calon lain ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Datuk Jamawi Jaffar (Melalap), bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd Thonny Chee (Api-Api) dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Libaran Abdul Said Pimping (Gum-Gum).
Turut dicalonkan ialah bekas Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Lembaga Koko Malaysia Romansa Lamin (Segama) dan Rufinah Pengeran, seorang bekas guru yang akan bertanding di Tulid.
Sementara itu, Anwar berkata rakyat terutama di Sabah yang bakal berdepan dengan PRN perlu menilai sebaiknya apa yang disuarakan calon dan pemimpin politik supaya rakyat tidak termakan janji palsu dan menjadi alat dalam permainan politik mereka.
"Kita boleh hangatkan suasana. Kita boleh biar orang bertepuk. Akhirnya pemimpin kaya raya, rakyat bertepuk itu miskin papa kedana. Kamu datang sorak-sorak… balik siapa peduli kamu, dia (calon) menang tinggalkan kamu," kata beliau.
Perdana Menteri turut memberi amaran politik perkauman banyak merosakkan negara dan menimbulkan kebencian yang tidak berfaedah.
Beliau menekankan bahawa kestabilan politik dan kerjasama antara Persekutuan dan negeri perlu diperkukuh untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama di Sabah.
Anwar turut menyeru rakyat Sabah memanfaatkan peluang pada PRN kali ini untuk bekerja sebagai pasukan bagi membangunkan negeri itu.
"Ini peluang kita bekerja sebagai pasukan. Sisa umur kita, kita manfaatkan untuk kebaikan rakyat dan angkat semula imej negara sebagai negara yang baik," kata beliau.
Anwar turut mengumumkan bahawa semua gabungan parti dalam PH yang bertanding pada PRN Sabah ke-17 akan menggunakan lambang PH sebagai simbol perjuangan. - 10 November, 2025
The post ‘Syarat mahu kerjasama dengan PH perlu patuh tatakeloka, bela rakyat’ Anwar appeared first on Scoop.
