Syarat simpanan RM15,000 tidak jadikan Tabung Haji seperti bank komersial, kata Menteri Agama

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 3:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarat simpanan RM15,000 tidak jadikan Tabung Haji seperti bank komersial, kata Menteri Agama Image from: Syarat simpanan RM15,000 tidak jadikan Tabung Haji seperti bank komersial, kata Menteri Agama liza26/10/2026 - 15:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt – Syarat simpanan minimum RM15,000 di bawah inisiatif Seruan Istito'ah tidak menjadikan Lembaga Tabung Haji (TH) seperti bank komersial, sebaliknya ia bertujuan memastikan bakal jemaah mempunyai kemampuan kewangan untuk menunaikan ibadah haji.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pendekatan itu membantu menggalakkan bakal jemaah membuat persediaan kewangan lebih awal, selaras dengan prinsip Islam bahawa ibadah haji diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan.

 

Beliau berkata, pelaksanaan syarat berkenaan turut membantu mengurangkan kadar penangguhan tawaran haji daripada lebih 50% kepada 18%.

 

 

 

 

 

 

 

Menurutnya, pengalaman TH menunjukkan ramai bakal jemaah yang menerima tawaran sebelum ini memohon untuk menangguhkan pemergian kerana belum bersedia dari segi kewangan.

 

“Keadaan itu menyebabkan TH perlu mengeluarkan tawaran pengganti berulang kali dalam tempoh singkat yang menjejaskan kecekapan pengurusan peruntukan dan giliran haji,” katanya.

 

Bukan beroperasi seperti bank komersial

“Inisiatif Seruan Istito'ah mencerminkan semangat asal penubuhan TH yang dicetuskan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, dengan penekanan terhadap disiplin kewangan dan perancangan awal bagi menunaikan haji,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Menurutnya, TH akan terus beroperasi mengikut mandat yang ditetapkan di bawah Akta Tabung Haji dan tidak akan menjalankan aktiviti di luar tanggungjawab institusi berkenaan.

 

Beliau turut menjelaskan bahawa simpanan minimum RM15,000 masih layak menerima agihan keuntungan tahunan TH, membolehkan pendeposit memperoleh manfaat daripada simpanan mereka sambil membuat persediaan untuk menunaikan haji.

 

Syarat simpanan minimum dipertikai

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang meminta kerajaan mempertimbangkan semula syarat simpanan minimum RM15,000 kerana bimbang ia menjejaskan pendeposit yang kurang berkemampuan, termasuk mereka yang telah lama berada dalam senarai menunggu haji.

 

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) dan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) antara yang membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat.

 

Idris berkata, TH tidak sepatutnya dilihat seperti bank komersial yang mengutamakan keuntungan kerana matlamat asal penubuhannya adalah untuk membantu umat Islam, termasuk masyarakat luar bandar, membuat persediaan menunaikan haji.

 

 

 

 

 

 

Menjawab perkara itu, Zulkifli berkata, syarat berkenaan juga selaras dengan saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya jumlah pendaftaran muassasah dan deposit minimum kelayakan dinaikkan bagi mengambil kira kos semasa.

 

Di bawah inisiatif itu, pendeposit yang mempunyai simpanan minimum RM15,000 layak secara automatik memasuki senarai menunggu haji tanpa perlu membuat pendaftaran secara manual, manakala pendeposit sedia ada diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk memenuhi syarat berkenaan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved