
Awal minggu ini, terdapat laporan yang mengatakan bahawa kerajaan Amerika Syarikat akan memperkenalkan undang-undang baru yang mana mereka akan menguji versi perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) terbaru yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat AI Amerika Syarikat sebelum ia ditawarkan secara rasmi kepada orang ramai.
Ujian ini akan dijalankan oleh Center for AI Standards and Innovation (CAISI) yang beroperasi di bawah Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat. (US Department of Commerce). Menurut laporan Bloomberg, gergasi-gergasi AI seperti xAI, Google dan Microsoft telah bersetuju untuk model-model AI mereka diuji, manakala OpenAI dan Anthropic juga telah bersetuju untuk diuji setelah perbincangan diadakan antara mereka dan pihak kerajaan.

Perjanjian tersebut bermakna setiap syarikat pembangun kecerdasan besar utama Amerika Syarikat akan mengambil bahagian dalam penilaian pra-pengeluaran kerajaan secara sukarela. CAISI telah menguji lebih daripada 40 penilaian model setakat ini, termasuk penilaian teknologi AI yang belum dilancarkan, menurut Jabatan Perdagangan.
Menariknya, arahan untuk ujian pra-pengeluaran ini dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump tidak lama selepas Anthropic memperkenalkan model kecerdasan buatan terbaru mereka, Mythos, yang dilaporkan boleh mencari kerentanan dalam perisian-perisian moden dalam masa yang singkat. Satu lagi isu yang menarik juga ialah perkhidmatan kecerdasan buatan Anthropic, Claude masih lagi disekat penggunaannya dan telah dilabel sebagai satu perkhidmatan berisiko tinggi oleh kerajaan Amerika Syarikat.





