
BERLIN: Sebuah syarikat pertahanan yang disokong oleh pelabur dari Amerika Syarikat (AS) dan Israel merancang untuk membina sebuah kilang berskala besar di timur Jerman bagi mengeluarkan peluru berpandu jelajah jarak jauh.
Kos pengeluaran seunit dijangka di bawah AS$1 juta (RM4.07 juta), menurut perincian yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.
Covenant, syarikat di sebalik projek tersebut memaklumkan bahawa ia akan membina kemudahan berkenaan di berhampiran Leipzig, dalam negeri Saxony, bagi memproses peluru berpandu jelajah jenis Anthem miliknya.
Pengumuman tersebut dibuat ketika Jerman bersama sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah mempercepatkan usaha bagi memperolehi sistem senjata canggih sebagai tindak balas terhadap ancaman dari Russia.
Ketua Pegawai Eksekutif Covenant, Abigail Denburg berkata, syarikat itu merancang untuk mengeluarkan kira-kira 1,000 unit peluru berpandu Anthem pada tahun pertama beroperasi, dengan sasaran pengeluaran jangka panjang sebanyak 5,000 unit setahun.
Pengeluaran dijangka bermula pada suku pertama tahun 2027 dengan keutamaan bekalan awal diagihkan kepada pelanggan di Eropah.
Denburg menyatakan bahawa kontrak pengeluaran bagi penghantaran dari kilang di Jerman itu telah pun ditandatangani, walaupun beliau enggan mendedahkan identiti pembeli berkenaan.
“Pelanggan Eropah kami akan memutuskan sendiri bila untuk mengumumkan perjanjian ini,” katanya pada Rabu.
Covenant turut mengendalikan sebuah kilang di Dallas, Texas yang memenuhi keperluan ketenteraan AS.
Peluru berpandu Anthem direka khas bagi serangan berpresisi tinggi dan mampu membawa peledak seberat 200 kilogram.
Jangkauan operasinya dilaporkan melebihi 1,500 kilometer, walaupun pihak syarikat belum mengesahkan angka berkenaan secara rasmi. – AGENSI
The post Syarikat AS-Israel bina kilang peluru berpandu di Jerman appeared first on Utusan Malaysia.






