EI Power beli kilang RM17.2 juta di Glenmarie daripada Elitesoft Asia

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EI Power beli kilang RM17.2 juta di Glenmarie daripada Elitesoft Asia Image from: EI Power beli kilang RM17.2 juta di Glenmarie daripada Elitesoft Asia amree09/09/2026 - 17:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 SeptEI Power Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, EI Power Technologies Sdn Bhd (EIPT), membeli sebuah hartanah industri di Glenmarie, Shah Alam, Selangor bernilai RM17.2 juta.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, pemerolehan daripada Elitesoft Asia Sdn Bhd itu bagi menempatkan ibu pejabat dan gudang baharu, selaras dengan rancangan pengembangan perniagaannya.

 

Kumpulan tersebut memeterai perjanjian jual beli (SPA) pada 9 September 2026 dengan tanah pegangan bebas seluas 1,496 meter persegi bersama-sama sebuah kilang berkembar dua setengah tingkat.

 

"Hartanah ini memiliki keluasan binaan kira-kira 1,623 meter persegi dan nilai pasaran RM17.3 juta berdasarkan penilaian IM Global Property Consultants Sdn Bhd pada 20 Jun 2026," jelas EI Power.

 

Bagaimanapun ujarnya, harga pembelian dipersetujui atas asas 'pembeli dan penjual bersedia' dengan hartanah tersebut pada ketika ini sudah mempunyai kemudahan pejabat dan gudang sedia ada lengkap.

 

Fasiliti berkenaan sesuai untuk kegunaan operasi kumpulan, sekali gus membolehkannya memulakan terus operasi selepas kerja-kerja pengubahsuaian dan pemasangan kelengkapan selesai dilaksanakan.

 

Langkah itu dijangka mengurangkan kebergantungan EI Power terhadap premis sewaan dalam jangka panjang, selain dapat meningkatkan kapasiti penyimpanan dan menampung pertumbuhan tenaga kerja.

 

EI Power_DagangNews2026

 

"Aset ini terletak di kawasan perindustrian yang dibangunkan di Selangor dan mempunyai akses kepada lebuh raya utama, dengan akan memudahkan urusan operasi, pelanggan serta pembekal," tambahnya.

 

Dari segi pembiayaan, RM15 juta daripada harga pembelian akan menggunakan sebahagian hasil tawaran awam permulaan (IPO) yang sebelum ini diperuntukkan bagi pemerolehan serta ibu pejabat dan gudang.

 

Baki RM2.2 juta pula akan dibiayai melalui dana dalaman kumpulan dan, selepas pengambilalihan selesai, EI Power turut merancang menjalankan kerja pengubahsuaian dan pemasangan kelengkapan.

 

Kos kerja tersebut katanya, akan dibiayai menggunakan sehingga RM3.3 juta daripada hasil IPO yang memang sudah diperuntukkan kumpulan itu untuk tujuan berkenaan namun kos sebenar belum ditentukan.

 

"Bagaimanapun, sekiranya kos itu didapati melebihi jumlah yang diperuntukkan daripada hasil IPO, kekurangan tersebut akan dibiayai dengan menggunakan dana dalaman kumpulan sendiri," katanya.

 

Hartanah ini turut ada sewaan bumbung kepada penyedia infrastruktur telekomunikasi pada kadar RM6,000 sebulan sehingga 31 Mei 2027, dengan hasil berkaitan akan dipindahkan pula kepada EIPT.

 

Pengambilalihan itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap aset bersih, aset bersih sesaham, gearing, keuntungan dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Transaksi berkenaan jelas EI Power, dijangka dapat selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perjanjian, dengan lanjutan satu bulan sekiranya diperlukan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved