Syarikat insurans Jepun pertimbang ambil alih LPI Capital: Public Bank boleh raih untung RM521 juta – CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 2:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarikat insurans Jepun pertimbang ambil alih LPI Capital: Public Bank boleh raih untung RM521 juta – CIMB Securities Image from: Syarikat insurans Jepun pertimbang ambil alih LPI Capital: Public Bank boleh raih untung RM521 juta – CIMB Securities liza19/10/2026 - 14:47 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt – Public Bank Bhd berdepan pertimbangan strategik sama ada mahu merealisasikan potensi keuntungan RM521 juta daripada pegangan 44.15% dalam LPI Capital Bhd atau mengekalkan kepentingannya dalam perniagaan insurans yang menyumbang pendapatan berulang kepada kumpulan itu.

 

CIMB Securities berkata, potensi keuntungan itu boleh direalisasikan sekiranya syarikat insurans Jepun, MS&AD Insurance Group Holdings Inc mengambil alih pegangan Public Bank dalam LPI Capital seperti yang dilaporkan Bloomberg.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengingatkan sebarang penjualan perlu mengambil kira kehilangan pendapatan berterusan serta kawalan terhadap operasi insurans LPI Capital yang menguntungkan, khususnya Lonpac Holdings Bhd.

 

Public Bank memperoleh pegangan tersebut pada Disember 2024 dengan nilai RM1.72 bilion atau RM9.80 sesaham. Berdasarkan harga saham LPI Capital sebanyak RM12.76, nilai semasa pelaburan itu dianggarkan meningkat kepada RM2.24 bilion.

 

Perbezaan nilai berkenaan mewakili keuntungan belum direalisasikan kira-kira RM521 juta, sekiranya pegangan itu dijual pada nilai pasaran tersebut.

 

Pengambilalihan berpotensi mengubah landskap insurans am

Menurut laporan Bloomberg, MS&AD sedang meneroka kemungkinan mengambil alih LPI Capital sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan perniagaannya di luar Jepun.

 

MS&AD sudah mempunyai kehadiran di Malaysia menerusi MSIG Malaysia.

 

Sekiranya pengambilalihan LPI Capital diteruskan dan operasi MSIG digabungkan dengan Lonpac, kumpulan itu berpotensi menjadi antara penyedia insurans am terbesar di negara ini.

 

CIMB Securities menganggarkan gabungan kedua-dua operasi tersebut boleh menguasai kira-kira 16% bahagian pasaran insurans am Malaysia, mengatasi Allianz General Malaysia yang mempunyai bahagian pasaran sekitar 15%.

 

Justeru, CIMB Securities berpandangan sebarang penjualan pegangan LPI Capital perlu menawarkan manfaat kewangan dan strategik yang meyakinkan bagi mengimbangi kehilangan pemilikan serta sumbangan pendapatan berulang daripada perniagaan insurans itu.

 

CIMB Securities kekal saran beli Public Bank

Dalam perkembangan berasingan, CIMB Securities menjangkakan Public Bank mencatatkan keuntungan bersih teras sekitar RM1.85 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, dengan keputusan dijangka diumumkan pada November.

 

Prestasi itu dijangka secara umumnya mendatar berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, disokong pendapatan bukan faedah yang berdaya tahan daripada pengurusan kekayaan dan urus niaga pertukaran mata wang asing.

 

CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Public Bank, tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM5.35 daripada RM5.50 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu turut menyemak turun unjuran pendapatan Public Bank bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 masing-masing sebanyak 12.5%, 2.1% dan 2.5%.

 

Minggu lalu, Public Bank memaklumkan bahawa aset bersih disatukan dan pendapatan sesaham kumpulan berpotensi berkurangan sebanyak empat sen susulan jangkaan kemerosotan nilai muhibah (goodwill impairment) berjumlah HK$1.964 bilion, bersamaan kira-kira RM1.1 bilion pada anak syarikatnya yang disenaraikan di Hong Kong, Public Financial Holdings Ltd (PFHL).

 

Maybank Investment Bank dalam nota penyelidikan berasingan menganggarkan kemerosotan nilai itu memberi kesan sebanyak RM748 juta kepada Public Bank berdasarkan kepentingan efektifnya dalam PFHL, bersamaan kira-kira 11% daripada pendapatan kumpulan.

 

Bagaimanapun, Maybank IB menjangkakan pembayaran dividen Public Bank tidak terjejas memandangkan kemerosotan nilai itu bersifat sekali sahaja dan tidak melibatkan aliran keluar tunai. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved