
Kota Kinabalu: Sebuah syarikat didenda RM6,500 kerana menjual produk mengandungi racun tanpa lesen dan produk tidak berdaftar.
Prima Intima Sdn Bhd mengaku bersalah melalui pengarahnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan atas dua pertuduhan terhadap syarikat berkenaan pada Isnin.
Bagi pertuduhan pertama, syarikat tersebut didenda RM5,000, dan jika gagal membayar, waran levi akan dikeluarkan terhadap syarikat kerana memiliki 28 produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 11.15 pagi, 31 Mac 2022 di premis syarikat di Taman Pinetop Villa, Off Jalan Kobusak, Penampang.
Kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat sama didenda RM1,500 atau waran levi akan dikeluarkan terhadap syarikat atas kesalahan memiliki lima produk mengandungi racun untuk dijual tanpa lesen yang sah.
Pertuduhan menyatakan produk tersebut dikesan mengandungi Lignocaine, yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952, di tempat dan waktu yang sama.
Kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun itu boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Semasa rayuan, peguam Amli Nohin yang mewakili syarikat (pengarah), memohon denda minimum sahaja kerana ini merupakan kesalahan pertama syarikat terbabit.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Nadia Aini Datu dari Jabatan Farmasi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, mengatakan produk tidak berdaftar dan produk mengandungi racun bernilai RM32,477 telah dirampas semasa serbuan di premis berkenaan berdasarkan aduan orang awam.
Dia berhujah bahawa produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan produk mengandungi racun tanpa mematuhi indikasi betul adalah tidak dibenarkan serta boleh membahayakan keselamatan pengguna.

