Syarikat kerjasama Berjaya-Naza fail saman terhadap MOF selepas penamatan LOI pembekalan kenderaan kepada kerajaan

PoliticsBusiness & Finance
17 Jul 2023 • 3:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarikat kerjasama Berjaya-Naza fail saman terhadap MOF selepas penamatan LOI pembekalan kenderaan kepada kerajaan

azan

17/07/2023 - 15:59

KUALA LUMPUR 17 Julai - Syarikat kerjasama (JV) antara Berjaya Group dan Naza Group memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MOF) kerana bertindak menamatkan Surat Hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada syarikat itu berkaitan kontrak membekalkan kenderaan kepada kerajaan.

Pengasas dan Penasihat Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan berkata, LOI itu ditamatkan tiga bulan selepas bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Mereka (kerajaan) menamatkan kami dan memberikannya kepada Spanco (Sdn Bhd). Kerajaan bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lebih (berbanding bidaan JV). Kerajaan berpendapat Berjaya dan Naza tidak cukup bagus dalam perniagaan kereta.

"Kami telah memfailkan saman terhadap (MOF) mengenai perkara ini dan kami bersedia untuk pergi ke mahkamah mengenai perkara ini," katanya.

Beliau berkata, tender menerusi syarikat kerjasama Naza dan Berjaya ketika itu adalah yang terendah ketika itu berbanding pembida lain.

image is not available
Tan Sri Vincent Tan

Beliau juga menyatakan bahawa kepentingan dalam JV telah berubah, dengan Berjaya kini memegang 40% kepentingan berbanding 49% sebelum ini.

Spanco telah menyelenggara kenderaan kenderaan kerajaan sejak 1994.

Dilaporkan sebelum ini bahawa kerajaan telah meminta pihak yang berminat untuk mengemukakan permintaan untuk cadangan (RFP) mengenai konsesi kenderaan, selepas konsesi 25 tahun Spanco berakhir pada Disember 2018.

Laporan sebelum ini berkata, kontrak baharu itu dijangka melibatkan 12,500 kenderaan dalam tempoh 15 tahun dan bernilai RM300 juta setahun, selepas tahun kelima.

Kereta itu akan digunakan oleh menteri, pegawai kanan kerajaan dan jabatan, serta polis.

Antara pesaing yang ingin mendapatkan kontrak itu ialah Spanco milik Tan Sri Robert Tan Hua Choon. Pembida lain termasuk DRB-Hicom Bhd, Samling Group, dan JV antara Naza Group dan Berjaya Group. - DagangNews.com