
KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia, LGMS Bhd telah dinamakan oleh Information Services Group (ISG), Amerika Syarikat (AS) sebagai peneraju keselamatan siber dalam perkhidmatan keselamatan strategik dan perkhidmatan keselamatan teknikal.
ISG ialah firma penyelidikan dan penasihat teknologi antarabangsa terkemuka yang mempunyai reputasi kukuh berkaitan maklumat pasaran ditambah dengan penyelidikan dan analisis teknologi, kata LGMS dalam satu kenyataan hari ini.
LGMS telah disenaraikan dalam kajian Provider Lens Quadrant, ISG, ia memberikan pandangan serantau dan global yang bernas mengenai penggiat terkemuka di setiap negara, wilayah atau di peringkat global.
Visinya termasuk kekuatan, pembeza kompetitif dan titik jualan unik penyedia perkhidmatan terkemuka yang berada di setiap pasaran.
Untuk perkhidmatan keselamatan strategik, LGMS disifatkan oleh ISG sebagai mempunyai pengalaman dan akreditasi keselamatan siber tahap tinggi setelah menyampaikan perkhidmatan keselamatan siber profesional kepada pelanggan tempatan, serantau dan antarabangsa merentas pelbagai industri di seluruh Asia.
Peneraju lain yang dinamakan oleh ISG termasuk IBM, Accenture, KPMG, Deloitte dan PwC.
Kekuatan LGMS dalam bidang perkhidmatan keselamatan strategik digambarkan oleh ISG sebagai mempunyai rangkaian luas perkhidmatan keselamatan siber, kepakaran keselamatan siber yang kukuh, syarikat itu juga berperanan sebagai penyedia keselamatan siber profesional yang neutral.
LGMS mempunyai lebih daripada 60 tenaga pakar dalam ujian penembusan dan forensik digital yang disokong oleh pengalaman industri berdekad-dekad serta mempunyai lebih seribu pelanggan tempatan dan global.
Antara pelanggan syarikat itu adalah semua entiti perbankan, kewangan dan insurans utama Malaysia serta syarikat ‘blue chip’ seperti Sunway Group, MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT), DRB-HICOM, AirAsia Group, DIGI dan Axiata.
Syarikat blue chip adalah syarikat besar yang mempunyai reputasi yang sangat baik dan kukuh daripada segi kewangan serta beroperasi dalam tempoh yang lama. -Bernama



![“Terbaik trend Gen Z” – [VIDEO] Pengumuman RTM Guna Animasi Bondee Raih Perhatian Ramai](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)