Syarikat milik selebriti didakwa berhutang RM4.65 juta dengan pengilang tudung

LocalWomen's Fashion
5 May 2025 • 3:59 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Sebuah syarikat pengilang tudung mendakwa syarikat milik seorang selebriti wanita terkenal masih berhutang sebanyak RM4.65 juta.

Menurut laporan BuzzKini, pengilang tersebut telah membekalkan tudung bernilai RM7.33 juta sejak Jun 2022, namun hanya menerima bayaran sebanyak RM2.68 juta, meninggalkan tunggakan berbaki RM4.65 juta.

Laporan itu turut menyatakan bahawa pengilang mula menghadapi kesukaran mendapatkan bayaran sejak Disember 2023, dan kes ini juga dikatakan melibatkan abang kepada selebriti berkenaan sebagai defendan ketiga, manakala selebriti itu dinamakan sebagai defendan keempat.

Tunggakan tersebut termasuk lima pesanan tambahan berjumlah RM3.6 juta yang dibuat pada Jun dan September 2024, walaupun tunggakan terdahulu masih belum dijelaskan. Difahamkan, abang selebriti itu meyakinkan pihak pengilang bahawa pesanan tambahan itu adalah untuk inisiatif Koleksi Merdeka oleh sebuah kementerian, yang berlangsung pada Julai 2024.

Laporan turut menyebut bahawa, bagi meyakinkan pengilang, mereka mendakwa sedang menerima bayaran daripada kerajaan dan mempunyai kerjasama dengan syarikat-syarikat ternama seperti BOH Plantations, Hotel Movenpick, dan Institut Kanser Negara (IKN).

Tunggakan cecah RM4.65 juta

Namun begitu, tiada bayaran diterima meskipun pesanan tambahan telah disiapkan dan dihantar kepada syarikat berkenaan. Jumlah keseluruhan tunggakan kini mencecah RM4,650,029.14.

Selain itu, pengilang turut mendakwa menerima cek bernilai RM1 juta yang ditandatangani oleh kedua-dua adik-beradik berkenaan, namun cek tersebut didapati tidak laku (cek tendang).

Difahamkan juga, selebriti itu masih merupakan pengarah syarikat ketika transaksi berlaku, sebelum melepaskan jawatan beberapa bulan lalu.

Susulan kegagalan menerima bayaran, pihak pengilang kini sedang dalam proses memfailkan Penghakiman Ingkar (Judgement in Default) terhadap syarikat berkenaan setelah tempoh maklum balas tamat.