TAS Offshore raih kontrak RM38 juta bina 6 bot tunda dari Indonesia

LocalBusiness & Finance
5 May 2025 • 6:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TAS Offshore raih kontrak RM38 juta bina 6 bot tunda dari Indonesia

image is not available

05/05/2025 - 18:07

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mei — TAS Offshore Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya memperoleh kontrak pembinaan sebanyak enam unit bot tunda bernilai RM 38 juta.


Kontrak tersebut telah ditandatangani dengan dua pelanggan baharu dari Indonesia dan kapal-kapal berkenaan dijangka dapat dihantar pada tahun kewangan 2026.


Hasil yang dijana daripada kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan TAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.


"Tiada Pengarah dan/atau pemegang saham utama TAS atau orang yang berkaitan memiliki sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak dalam kontrak di atas," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Dalam laporan tahunan 2024 yang diterbitkan pada September 2024, TAS Offshore memaklumkan syarikat itu menandatangani 12 kontrak pembinaan kapal bernilai RM86.66 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024.


Ia melibatkan pelanggan dari Indonesia sebanyak 85 peratus daripada kontrak baharu tersebut manakala baki 15 peratus lagi ditempah dari Singapura.


Pada tahun yang ditinjau, kumpulan itu menyiapkan dan menghantar 10 unit bot tunda dengan jumlah nilai kontrak RM67 juta kepada pemilik kapal di Indonesia dan Singapura.


Kontrak pembinaan kapal ini dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman kumpulan itu. - DagangNews.com

standard