
SEOUL: Gelombang haba luar biasa di Korea Selatan mendorong syarikat melanjutkan waktu rehat, mengubah jadual kerja dan menyediakan lebih banyak peralatan penyejuk bagi mengurangkan risiko kecederaan dalam kalangan pekerja.
Bagaimanapun, langkah itu turut menonjolkan jurang perlindungan antara pekerja syarikat besar yang mempunyai kemampuan menyediakan kemudahan keselamatan lebih baik dengan pekerja di syarikat kecil serta lokasi kerja luar yang masih terdedah kepada suhu ekstrem.
Suhu di seluruh negara dilaporkan mencecah paras luar biasa, dengan Yangsan di wilayah Gyeongsang Selatan merekodkan suhu tertinggi 42.5 darjah Celsius, manakala Seoul berada di bawah amaran gelombang haba tahap tertinggi selama beberapa hari.
Menurut data yang dikemukakan Ahli Parlimen Parti Kuasa Rakyat (PPP), Kim Wi-sang, Perkhidmatan Pampasan dan Kebajikan Pekerja Korea mengiktiraf 195 kemalangan pekerjaan berkaitan haba antara 2022 hingga Jun tahun ini, termasuk 20 kematian.
Sebanyak 13 kes, termasuk empat kematian, diiktiraf dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebelum tempoh kemuncak gelombang haba yang biasanya berlaku pada Julai dan Ogos.
Syarikat pembinaan yang menyumbang kepada jumlah kematian industri yang tidak seimbang antara sektor lain, menjadi antara pihak yang paling aktif mengambil langkah perlindungan.
Hyundai Engineering & Construction memberi ganjaran kepada pekerja yang berehat di kawasan rehat ditetapkan, manakala Lotte E&C menggunakan sistem pemantauan berasaskan Internet of Things (IoT) di kira-kira 80 tapak pembinaan untuk mengukur suhu yang dirasai setiap lima minit dan mengklasifikasikan risiko haba kepada lima tahap.
Daewoo E&C pula membenarkan pekerja yang berasa tidak sihat untuk menghentikan kerja tanpa bimbang dikenakan tindakan atau penalti.
Industri berat yang sukar menghentikan operasi ketika gelombang haba pula mengetatkan jadual kerja dan rehat.
Posco, yang mengendalikan relau bagas sepanjang masa, mewajibkan pekerja berehat selama 15 minit selepas setiap 45 minit bekerja apabila suhu yang dirasai melebihi 35 darjah Celsius. Apabila suhu melebihi 31 darjah Celsius, pekerja perlu berehat 10 minit selepas setiap 50 minit bekerja.
Hyundai Steel pula menetapkan rehat sekurang-kurangnya 10 minit setiap jam apabila suhu yang dirasai melebihi 31 darjah Celsius dan sekurang-kurangnya 15 minit apabila suhu melebihi 35 darjah Celsius.
The post Syarikat panjangkan waktu rehat susulan gelombang haba appeared first on Utusan Malaysia.





