Syarikat perladangan jana pendapatan baharu melalui sektor RE, taman perindustrian - Kenanga

30/04/2025 - 17:13
Selain aktiviti perladangan kelapa sawit, SD Guthrie turut menjana pendapatan menerusi sektor tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan taman perindustrian. Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 30 April - Syarikat perladangan besar di Malaysia dijangka menjana lebih banyak pendapatan bukan daripada aktiviti ladang sawit pada masa hadapan, susulan kemunculan sumber pendapatan baharu.
Menurut Kenanga Research, syarikat seperti PPB Bhd, SD Guthrie Bhd dan Genting Plantations Bhd telah mula menunjukkan hasil awal daripada segmen bukan perladangan untuk tahun 2025 dan 2026.
Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak syarikat perladangan mula menceburi sektor seperti tenaga boleh diperbaharui (RE), taman perindustrian, hartanah, produk pengguna (FMCG) dan produk bio mesra alam sebagai usaha untuk mempelbagaikan pendapatan.
"Walaupun masih di peringkat awal, pendapatan daripada sektor bukan perladangan dijangka terus berkembang terutamanya bagi syarikat besar.
"Ini boleh meningkatkan pendapatan jangka panjang dan mengekalkan kedudukan kewangan syarikat," jelas Kenanga Research dalam satu laporan semalam.
Kenanga Research turut menyatakan, dua segmen baharu SD Guthrie iaitu pembangunan taman perindustrian dan RE, diperkukuh oleh lokasi tanah yang strategik, hubungan perniagaan yang kukuh serta akses kepada pembiayaan.
Dalam sektor hartanah, Sime Darby Bhd dan IOI Corp Bhd mula membangunkan kawasan perbandaran sejak tahun 1970-an dan 1980-an, yang kini berkembang sehingga memiliki anak syarikat hartanah yang tersenarai secara berasingan.
Fokus semasa bagi SD Guthrie dan Kuala Lumpur Kepong Bhd adalah pembangunan taman perindustrian, manakala Genting Plantations baru sahaja membuka satu lagi pusat membeli-belah premium dan sedang menceburi pembangunan perumahan di kawasan Jakarta Raya, Indonesia.
Sementara itu, tenaga solar mula menjadi pilihan sejak sedekad lalu, sebagai contoh oleh SD Guthrie yang mula menyewakan tanah tidak produktif kepada ladang solar sejak tahun 2017.
Dalam sektor FMCG, syarikat perladangan besar melabur dalam pengeluaran produk hiliran seperti barangan getah, penapisan minyak masak dan oleokimia.
PPB dan FGV Holdings Bhd misalnya, menceburi bidang pengeluaran makanan seperti minyak masak, marjerin dan roti.
FGV memberi tumpuan kepada pasaran tempatan, manakala PPB dan rakan kongsinya, Wilmar International Ltd, mempunyai pasaran yang luas di Asia Pasifik.
Jenama Wilmar seperti Arawana dan Fortune adalah antara nama besar dalam minyak masak di China dan India.
Di Malaysia, PPB adalah pengeluar tepung terbesar, manakala jenama roti Massimo berada di tempat kedua.
Bagi produk bio neutral karbon, IOI telah melabur kira-kira RM150 juta dalam IOI Palm Wood Sdn Bhd dan RM250 juta lagi dalam usaha sama dengan Nextgreen Global Bhd.
Pelaburan itu dilihat selari dengan hala tuju syarikat-syarikat besar di Eropah seperti Stora Enso dan Borregaard.
"IOI dilihat mahu memaksimumkan nilai daripada kelapa sawit, bukan sekadar menjual minyak sawit mentah dan biji sawit, tetapi turut mengambil kira kesan terhadap alam sekitar demi kelestarian jangka panjang operasi mereka," tambah Kenanga Research.
Mengenai harga minyak sawit mentah (CPO), Kenanga Research menjangka harganya akan kekal stabil dalam jangka masa terdekat tahun ini dan tahun hadapan.
Setakat tahun ini, harga CPO telah menurun sedikit berbanding suku akhir tahun lalu dan kelebihan harga berbanding minyak kacang soya juga telah hilang.
Namun, dengan jangkaan pengurangan bekalan dan penurunan stok tahunan, harga dijangka kekal kukuh dalam lingkungan RM4,000 hingga RM4,500 satu tan.
Kenanga Research mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor tersebut.
"Dalam ketidaktentuan perdagangan, ketidakpastian tarif dan kelembapan ekonomi global, kami melihat sektor perladangan sebagai pilihan yang stabil dari segi pendapatan," jelasnya.
Pilihan utama Kenanga Research dalam sektor itu adalah syarikat besar seperti IOI, dengan harga sasaran RM4.30, didorong oleh prestasi ladang yang kukuh, pemulihan margin hiliran dan pelaburan dalam projek karbon sifar bersih. - DagangNews.com
standard


