Sektor RE Australia diramal pacu pendapatan jangka panjang Gamuda, kata RHB Research

LocalBusiness & Finance
18 Apr 2025 • 9:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor RE Australia diramal pacu pendapatan jangka panjang Gamuda, kata RHB Research

image is not available

18/04/2025 - 09:35

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Langkah Gamuda Bhd mengukuhkan kedudukan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia diramal meningkatkan keterlihatan pendapatan jangka panjang kumpulan itu, kata RHB Research.

Katanya, penglibatan awal kumpulan itu dalam pembangunan infrastruktur terutama dalam sektor RE, meletakkannya sebagai syarikat utama dalam peralihan tenaga bersih di Australia.

Anak syarikat milik penuh Gamuda di Australia, DT Infrastructure (DTI), sedang bekerjasama dengan pemaju RE, Aula Energy bagi melaksanakan kerja-kerja awal untuk projek Ladang Angin Carmody’s Hill yang dicadangkan di Australia Selatan.

Firma penyelidikan itu berkata, ladang angin itu menampilkan 42 turbin yang mampu menjana sehingga 256MW elektrik, serta sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 118MW.

“Kami percaya pendedahan Gamuda kepada sektor RE di Australia menerusi pakej penglibatan awal kontraktor (ECI) mempunyai prospek yang baik, disokong oleh Senarai Keutamaan Tenaga Boleh Diperbaharui Kebangsaan Australia yang merangkumi 56 projek,” katanya dalam satu nota kajian.

Kerja-kerja awal melibatkan tinjauan dan aktiviti reka bentuk pra-pembinaan, yang dijangka mencapai tahap 30% reka bentuk menjelang akhir 2025, sebelum keputusan pelaburan muktamad dibuat.

Pembinaan dijangka bermula pada awal 2026.

RHB Research berkata, ia mencerminkan penglibatan Gamuda dalam projek Ladang Angin Boulder Creek berkapasiti 228MW, di mana DTI pada mulanya memperoleh pakej ECI pada Mac 2024 sebelum memperoleh kontrak kerja awam bernilai A$740 juta pada September tahun sama.

“Memandangkan projek Ladang Angin Carmody’s Hill mempunyai kapasiti penjanaan lebih tinggi iaitu 256MW berbanding projek Boulder Creek, kami menjangkakan nilai projek ini sekurang-kurangnya A$740 juta.

“Kami menganggarkan nilai kerja awal sekurang-kurangnya A$15 juta, dengan anggapan kerja-kerja tersebut tidak melebihi 2% daripada kos keseluruhan yang diunjurkan iaitu sekurang-kurangnya A$740 juta,” katanya.

Penglibatan awal DTI dalam projek Carmody’s Hill juga mengukuhkan kedudukannya untuk memperoleh kontrak penuh kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), seterusnya meningkatkan prospek hasil Gamuda daripada usaha sama ini.

Portfolio RE Gamuda yang semakin berkembang di Australia turut merangkumi usaha sama 50:50 dengan Ferrovial bagi projek Empangan Hidro Pam Oven Mountain bernilai A$1.8 bilion di New South Wales.

Selain itu, kumpulan itu turut dianugerahkan kerja-kerja ECI bagi projek Sistem Hidroelektrik Pam Hab Tenaga Capricornia pada Januari 2025 – dengan bahagian Gamuda dianggarkan bernilai A$1.5 bilion.

Walaupun terdapat perkembangan ini, RHB Research mengekalkan unjuran pendapatannya memandangkan kerja-kerja ECI masih dalam lingkungan andaian penambahan kerja baharu sebanyak RM25 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (FY25).

"Kami mengekalkan saranan “beli” terhadap Gamuda dengan harga sasaran (TP) RM5.83 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard