Syarikat solar Bumiputera kini berpeluang raih lebih banyak projek dalam program LSS5+, kata penganalisis

LocalBusiness & Finance
23 Jun 2025 • 3:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Syarikat solar Bumiputera kini berpeluang raih lebih banyak projek dalam program LSS5+, kata penganalisis

image is not available

23/06/2025 - 15:01

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pemaju tenaga boleh diperbaharui (RE) yang sebelum ini gagal mendapat projek solar berskala besar (LSS5), dijangka berpeluang meraih kontrak melalui program baharu LSS5+ yang menetapkan syarat penyertaan Bumiputera lebih tinggi.

Menurut Kenanga Research, syarikat seperti Cypark Resources, Malakoff, SD Guthrie, Sunview, JAKS Resources dan Solarvest, berpotensi besar selepas gagal memperoleh kontrak dalam LSS5.

"Dengan syarat penyertaan Bumiputera yang lebih tinggi berbanding hanya 25% sebelum ini, syarikat seperti Malakoff, Cypark dan SD Guthrie dijangka mendapat kelebihan," katanya dalam satu laporan.

Program LSS5+ dijangka menawarkan kapasiti sehingga 500 megawatt (MW), jauh lebih besar berbanding maksimum 30MW dalam LSS5.

Jika dibahagikan dalam blok 100MW seperti sebelum ini, terdapat kira-kira 15 kontrak yang boleh dimenangi.

Dengan harga panel solar semasa, tarif yang dijangka ditawarkan adalah antara 14 sen/kWh hingga 18 sen/kWh, dengan pulangan pelaburan (IRR) sekitar 8%.

Syarikat kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) seperti Solarvest juga dijangka mendapat manfaat besar.

Buku tempahan kerja syarikat-syarikat itu kini berada pada paras tertinggi kerana mereka sedang menyiapkan projek di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) menjelang akhir 2025.

Kenanga Research berkata, sebanyak 4GW projek LSS5 dan LSS5+ akan memasuki pasaran dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2027, melibatkan nilai pasaran EPCC solar sekitar RM10 bilion.

Selain itu, harga panel solar mungkin akan turun sedikit berikutan lambakan produk oleh pengeluar-pengeluar utama.

"Oleh kerana pulangan rendah dan kos yang semakin meningkat, kami lebih yakin dengan syarikat kontraktor EPCC berbanding pemilik projek," jelasnya.

Dalam bidang berkenaan, Solarvest dijangka terus memimpin pasaran dengan pegangan sekurang-kurangnya 30%.

Kenanga Research bagaimanapun turut memilih syarikat kecil seperti Pekat Group Bhd dan Swift Energy Bhd kerana fokus yang lebih kepada keuntungan dan menawarkan pilihan pelaburan yang lebih murah dalam sektor RE.

Sementara itu, RHB Research juga memberi tumpuan kepada sektor EPCC dan menjangka senarai pemaju terpilih untuk program LSS5+ dengan tambahan 2GW kapasiti akan diumumkan dalam masa terdekat.

Program LSS6 pula dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun 2025, dengan tambahan 2GW lagi.

Kenanga Research dan RHB Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor RE dan utiliti tenaga di Malaysia. - DagangNews.com

featured standard