
PETALING JAYA: Keupayaan pemain boling wanita negara, Nur Syazwani Sahar bangkit selepas hilang permainan pertama menjadi gambaran paling jelas mengenai kematangan mentalnya ketika menamatkan kempen Kejohanan Boling Terbuka Hong Kong dengan penuh bergaya, kelmarin.
Turun berdepan wakil Macau, Wong Son Ian dalam perebutan kejuaraan, Syazwani tidak membiarkan kekalahan awal menjejaskan fokusnya sebaliknya kembali bermain dengan lebih tenang dalam permainan penentuan.
“Saya rasa kemenangan ini sangat bermakna buat saya, mungkin lebih daripada apa yang mampu saya ungkapkan.
“Ia pencapaian istimewa selepas segala kerja keras, pengorbanan dan cabaran yang saya lalui sepanjang perjalanan, selain banyak melalui detik naik turun,” katanya.
Situasi itu memperlihatkan keupayaan Syazwani mengurus tekanan ketika berada dalam keadaan sukar, apatah lagi lawannya terlebih dahulu mencuri kemenangan 209-187 sebelum pemain negara itu membalas dengan 223-211 dalam permainan kalah mati.
Kemenangan tersebut bukan sahaja memberikan Syazwani gelaran Masters wanita, malah menjadi sebahagian daripada kejayaan Malaysia menyapu bersih kedua-dua gelaran Masters lelaki dan wanita buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun.
Dalam saingan lelaki, Ahmad Muaz Fishol pula menunjukkan kebangkitan serupa apabila tidak panik selepas Hafiz Zainuddin terlebih dahulu memenangi permainan pembukaan 231-189 sebelum Muaz mengubah rentak untuk menang 207-199.
“Saya sangat gembira kerana selepas tidak menaiki podium langsung tahun lalu, kemenangan ini membuatkan saya rasa kembali berada pada tahap terbaik.
“Saya banyak mendapat tempat kedua dan ketiga sepanjang karier, tetapi sebagai antara pemain paling berusia dalam skuad, kemenangan ini membuktikan saya masih ada kemampuan untuk bersaing,” katanya. – UTUSAN
The post Syazwani buktikan mental juara appeared first on Utusan Malaysia.
