SHAH ALAM – Majlis pertunangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman bersama pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mencuri perhatian apabila tampil dengan konsep hantaran yang luar biasa dan sarat makna, berteraskan masa depan serta kesejahteraan keluarga.
Berbeza daripada kebiasaan, hantaran bertemakan masa depan diberikan oleh ahli politik itu tidak hanya berbentuk simbolik semata-mata, sebaliknya membawa mesej tanggungjawab, kestabilan dan perancangan jangka panjang.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook Adam Mohd Muhayeddin, antara hantaran utama termasuklah cincin pertunangan yang menjadi lambang ikatan rasmi antara kedua-dua mereka.
Paling menarik perhatian, Syed Saddiq menghadiahkan simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Tabung Haji (TH) kepada Bella.
Tidak terhenti di situ, dua lagi hantaran turut mencuri tumpuan apabila melibatkan anak-anak Bella iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) disediakan khusus buat Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.
"Hantaran pertunangan YB Syed Saddiq bertemakan masa depan iaitu cincin pertunangan, simpanan ASNB kepada Bella Astillah, Simpanan Tabung Haji kepada Bella Astillah, SSPN kepada Ayden dan SSPN kepada Ara.
"Alhamdulillah, majlis sudah selesai. Saddiq kini tunangan orang," kongsi Adam menerusi hantaran Facebook itu pada Sabtu.
Adam merupakan salah seorang dulang boys yang dari pihak Syed Saddiq membawa salah satu dari lima dulang hantaran, sebelum dibalas tujuh dulang dari pihak Bella.
Sebelum ini, Bella sah menjadi tunang Syed Saddiq selepas ibu kepada Ahli Parlimen Muar itu, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz menyarungkan cincin pertunangan ke jari Bella.

