Syed Saddiq gesa audit forensik pelaburan bermasalah

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 11:32 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Syed Saddiq gesa audit forensik pelaburan bermasalah

PETALING JAYA: Pihak berkuasa digesa menjalankan audit forensik terhadap 14 pelaburan Tabung Haji (TH) yang dikenal pasti bermasalah sehingga menyebabkan kemerosotan nilai aset serta kerugian berbilion ringgit.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, langkah itu penting bagi meneliti aliran wang, proses sesuatu pelaburan diluluskan serta sama ada wujud pihak tertentu yang mendapat manfaat daripada keputusan berkenaan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH sendiri mencadangkan supaya audit forensik dilakukan terhadap 14 keputusan pelaburan berkenaan selain siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

“RCI boleh memberikan cadangan tetapi RCI bukan SPRM. Laporan ini mencadangkan supaya audit forensik dilakukan terhadap 14 pelaburan yang akhirnya menyebabkan kemerosotan aset luar biasa dan TH kehilangan berbilion ringgit.

“Melalui audit forensik, barulah kita boleh mengetahui aliran wang selepas sesuatu pelaburan dibuat, bagaimana wang itu dibelanjakan, sama ada proses pelaburannya telus serta sama ada terdapat pihak lain yang melobi atau mendapat manfaat,” katanya dalam Facebook miliknya semalam.

Syed Saddiq berkata, antara pelaburan yang perlu diteliti termasuk membabitkan FGV Berhad, Putrajaya Perdana Berhad, Alrauda Real Estate serta beberapa pelaburan lain yang disenaraikan dalam laporan tersebut.

Beliau berkata, laporan RCI itu tidak menyatakan terdapat pemimpin politik yang memasukkan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi mereka.

Sebaliknya, beliau berkata, laporan berkenaan membangkitkan isu tadbir urus, kelemahan struktur serta keputusan pelaburan bermasalah yang menyebabkan TH mengalami kerugian besar.

“Kita tidak boleh terus mengatakan laporan RCI menunjukkan pemimpin politik tertentu ‘sakau’ berbilion ringgit.

“Pada masa sama, laporan itu juga tidak boleh digunakan untuk membersihkan sesiapa daripada masalah tadbir urus dan struktur yang akhirnya menyebabkan TH rugi berbilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata, antara isu utama yang dibangkitkan dalam laporan itu ialah pengaruh politik dalam proses pelantikan kepimpinan dan ahli lembaga TH yang didakwanya boleh menjejaskan mutu keputusan pelaburan.

Katanya, antara cadangan penting RCI ialah merombak proses pelantikan pengarah, ketua pegawai eksekutif serta ahli lembaga TH termasuk di peringkat anak syarikat supaya individu yang dilantik mempunyai kepakaran bersesuaian.

Syed Saddiq berkata, laporan RCI juga perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat supaya penyelesaian dapat dicapai secara dwipartisan bagi memastikan kesilapan lampau tidak berulang sehingga kerugian terpaksa ditanggung pendeposit, pembayar cukai dan generasi akan datang.

“Parlimen adalah institusi terbaik untuk mencari solusi dwipartisan supaya era kegelapan dapat ditinggalkan dan kita masuk ke zaman pemulihan.

“Ia juga perlu menjadi peringatan kepada kepimpinan akan datang supaya tidak lagi membuat keputusan populis sementara yang mengundang liabiliti besar kepada generasi akan datang,” katanya.-UTUSAN 

The post Syed Saddiq gesa audit forensik pelaburan bermasalah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved