PUTRAJAYA – Penantian hampir lima tahun akan berakhir kurang beberapa jam sahaja lagi, apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal mengetahui sama ada kekal sebagai wakil rakyat atau berdepan hukuman penjara susulan keputusan rayuan akhir pendakwaan di Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa.
Penghakiman mahkamah tertinggi negara itu bukan sahaja menentukan nasib rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya atas empat pertuduhan yang dihadapinya, malah boleh menjadi titik perubahan paling besar dalam karier politik bekas Ketua Armada Bersatu berkenaan.
Menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang tidak layak menjadi calon pilihan raya sekiranya dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Di bawah peruntukan sama, seorang ahli Parlimen turut boleh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika dikenakan hukuman berkenaan.
Sama ada diputuskan secara sebulat suara atau majoriti 2-1, keputusan panel tiga hakim itu bakal menoktahkan episod perundangan yang menjadi perhatian ramai sejak kes berkenaan bermula.
Keputusan rayuan dijadual disampaikan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pada 11 dan 12 Disember tahun lalu.
Prosiding itu merupakan medan rayuan terakhir bagi pendakwaan selaku perayu, sementara Syed Saddiq sebagai responden.
Jika panel hakim membenarkan rayuan pendakwaan, Syed Saddiq akan disabitkan semula atas empat kes terbabit dan dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023 lalu.
Sekiranya panel mengambil langkah berbeza dengan menolak rayuan itu, Syed Saddiq bakal menikmati pembebasan yang diputuskan Mahkamah Rayuan tahun lalu.






