
UCAPAN seorang anak kecil yang menyimpan impian besar demi ibunya cukup untuk membuatkan hati sesiapa sahaja tersentuh.
Pada usia sembilan tahun, Ayden bukan sekadar bercita-cita menjadi pemain bola sepak hebat seperti Cristiano Ronaldo, malah menyimpan satu hasrat yang jauh lebih bermakna, mahu menjaga ibunya, Bella Astillah.
Momen penuh emosi itu turut menyentuh hati Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika majlis resepsi perkahwinannya bersama Bella.
Mendengar sendiri luahan Ayden dan adiknya, Ara, Ahli Parlimen Muar itu berkongsi perasaannya tentang kasih sayang mendalam dua beradik berkenaan terhadap ibu mereka.
Bagi Syed Saddiq, kata-kata kanak-kanak lelaki itu membuktikan seorang anak yang masih kecil juga mampu memahami kesedihan dan keperitan yang dilalui insan tersayang, sekali gus menyimpan keinginan untuk menjadi pelindung kepada ibunya.
"Bila saya tanya Ayden, apa cita-citanya apabila besar nanti, selain mahu menjadi Cristiano Ronaldo, dia juga ada satu misi, iaitu mahu menjaga ibunya.
"Dia mahu menjaga ibunya kerana dia pernah melihat ibunya menangis dan dia mahu sentiasa berada di sisi ibunya," luah Syed Saddiq.

Kata-kata itu bukan sekadar memperlihatkan kematangan Ayden, malah menggambarkan betapa besar tempat Bella dalam hati anak sulungnya itu.
Dalam usia yang masih muda, anak sulung tersebut sudah mempunyai gambaran tentang kejayaan yang diimpikannya.
Bukan hanya untuk dirinya sendiri, tetapi juga supaya suatu hari nanti dia mampu membalas kasih sayang dan menjaga wanita yang selama ini menjadi tempatnya bergantung.
Syed Saddiq turut menyampaikan kata-kata penghargaan kepada Ayden yang disifatkannya sebagai seorang anak bijak, berbakat dan mempunyai masa depan cerah.
Malah, beliau berjanji akan sentiasa berada di sisi kanak-kanak itu, termasuk berkongsi pelbagai aktiviti seperti bermain bola sepak, berlari, berbasikal dan berenang bersama.
"Ayden, you are such a smart, talented, bright kid. And I promise from tonight onwards, I will be there by your side.
"Bila kita bermain bola, kena bagi peluang juga kepada saya. Saya kena bersaing dengan awak," katanya berseloroh, mencuit senyuman dalam suasana yang sarat dengan emosi.
Di sebalik gurauan itu, terselit kesungguhan seorang lelaki yang mahu membina hubungan rapat dengan anak-anak Bella, bukan sekadar hadir sebagai pasangan kepada ibu mereka, tetapi juga sebagai insan yang boleh mereka percaya dan harapkan.
Perhatian Syed Saddiq turut terarah kepada Ara yang disifatkannya sebagai seorang anak perempuan luar biasa, terutama menerusi hubungan rapat dan sikap manjanya terhadap Bella.
Dengan penuh kasih sayang, beliau menyampaikan janji kepada si kecil itu bahawa dirinya juga akan memainkan peranan untuk melindungi dan membimbing Ara ketika membesar.
"Ara, my princess, I love you, Ara. Daddy berjanji mulai sekarang, Ara tak perlu lagi mengharapkan abang untuk menjadi lelaki yang menjaga Ara.
"I will also be there to protect, to guide you," ungkapnya penuh makna.

Syed Saddiq turut menegaskan bahawa Bella akan terus menjadi insan penting dalam kehidupan Ara. Namun, beliau berharap kehadirannya dapat melengkapi kasih sayang yang sedia ada, sekali gus membantu kedua-dua anak itu membesar dengan rasa selamat dan disayangi.
Menerusi luahan tersebut, jelas bahawa Syed Saddiq bukan sekadar meraikan penyatuan dua hati bersama Bella, malah turut menerima kehadiran Ayden dan Ara sebagai sebahagian daripada kehidupan baharu mereka.
Mengakhiri ucapannya, beliau meluahkan rasa sayang kepada kedua-dua anak itu dengan kata-kata ringkas tetapi penuh makna.
"Kami sayang awak, Ara. Kami sayang awak, Ayden," ujarnya lagi.

Bagi Ayden dan Ara, kehadiran Syed Saddiq mungkin membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka. Namun, bagi seorang ibu seperti Bella, melihat anak-anaknya diterima, disayangi dan diberi jaminan untuk terus dilindungi pastinya membawa makna yang tersendiri.
Kadangkala, kebahagiaan sebuah keluarga bukan hanya terletak pada ikatan antara suami dan isteri, tetapi juga pada kesediaan untuk menerima, memahami dan menyayangi anak-anak yang hadir bersama insan pilihan hati.






