Synergy House teroka pasaran AS dengan anak syarikat baharu
zulfadli
21/06/2023 - 10:54
KUALA LUMPUR 21 Jun - Synergy House Bhd, peruncit e-dagang rentas sempadan dan pengeksport perabot rumah siap dipasang (RTA) mampu milik mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Synergy House Furniture Sdn Bhd (SHF) menyempurnakan langganan 1,000 saham biasa pada harga AS$1 setiap satu mewakili 100% daripada modal saham berbayar dalam Synergy House Furniture Inc (Synergy-US) untuk jumlah balasan tunai sebanyak AS$1,000.
Dengan selesainya langganan, Synergy-US kini merupakan anak syarikat milik penuh Synergy House melalui SHF.
Pengarah Eksekutif Synergy House, Tan Eu Tah berkata, pihaknya teruja dengan kejayaan langganan saham Synergy US kerana ia memainkan peranan penting dalam pengembangan berterusan syarikat, meningkatkan gelombang pasaran perabot e-dagang global yang semakin berkembang.
"Kumpulan lebih fleksibel untuk menggunakan lebih banyak platform e-dagang di Amerika Syarikat (AS) dan mengembangkan lagi segmen jualan perniagaan-ke-pengguna langsung (B2C).
"Kami melihat AS sebagai potensi besar dengan pasaran perabot e-dagang yang besar dan langkah ini akan mempercepatkan lagi pertumbuhan kami dalam B2C dan dalam pasaran AS.
Tambah Tan, syarikat itu akan terus meneroka pasaran dan peluang baharu dalam dunia e-dagang tanpa sempadan bagi memastikan pertumbuhan berterusan.
Synergy-US telah diperbadankan pada 7 Julai 2022 di Oregon, AS dan akan digunakan oleh kumpulan sebagai saluran lain untuk mengembangkan jualan perabot rumah RTA di AS.

Model perniagaan Synergy House tertumpu pada model aset ringan dan cekap, ia menyumber luar semua pembuatan kepada pihak ketiga untuk menumpukan pada jualan produk perabot rumah, kedua-dua saluran jualan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan B2C melalui pusat pemenuhan di luar negara.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023, kumpulan merekodkan jumlah jualan B2C sebanyak RM24.2 juta iaitu kira-kira 49% daripada jumlah jualan B2C kumpulan untuk 12 bulan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
AS merupakan pasaran terbesar kumpulan yang menyumbang kepada kira-kira 49.47% daripada jumlah hasil kumpulan untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2023.
Synergy House mula disenaraikan di pasaran ACE pada 1 Jun 2023 dan mengumpulkan sejumlah RM34.4 juta untuk tujuan membiayai pengembangan perniagaannya dan pembayaran balik pinjaman bank antara lain. - DagangNews.com


