Syor pengasingan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya dipersembah kepada Majlis Raja-Raja

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 12:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Syor pengasingan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya dipersembah kepada Majlis Raja-Raja
Azalina - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka diteruskan pada Oktober ini selepas syor berkaitan perkara itu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan untuk mempersembahkan syor Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berhubung pindaan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet.

"Insya-ALLAH, mesyuarat Majlis Raja-Raja dijangka berlangsung pada Oktober, yang juga merupakan bulan berlangsungnya sesi terakhir Parlimen bagi tahun ini. Selepas itu, kita berharap pindaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat diteruskan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai perkembangan usaha mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pencapaian pelaksanaan agenda reformasi kerajaan.

Azalina berkata, keputusan itu turut merangkumi syor berkaitan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Abdul Halim mengenai status agenda reformasi institusi kerajaan, Azalina berkata sebanyak 21 inisiatif reformasi utama telah dilaksanakan dari 2022 hingga 2025.

Beliau berkata kerajaan kini meneruskan beberapa inisiatif reformasi utama bagi tahun ini untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti institusi serta memperkasakan sistem semak dan imbang. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved