
DAMSYIK: Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani menafikan Damsyik sudah menghantar tentera ke Yemen atau merancang berbuat demikian dalam masa terdekat, sambil menegaskan perjanjian kerjasama ketenteraan yang baru dimeterai dengan Arab Saudi tidak merangkumi penghantaran pasukan ke negara bergolak itu.
Ketika sidang media bersama Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi di Istana Tishreen, Damsyik, Asaad menolak laporan tentera Syria mungkin menyertai operasi menentang pemberontak Houthi di Yemen yang disokong Iran.
“Tiada penghantaran tentera Syria ke Yemen dan tiada sebarang rancangan untuk berbuat demikian dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menegaskan sebarang penugasan tentera Syria ke luar negara akan diumumkan secara terbuka dan bukannya dilaksanakan secara rahsia.
Beliau turut mengulangi sokongan Damsyik terhadap kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, selain mengecam ancaman Houthi terhadap Arab Saudi.
“Kami berharap Yemen, seperti Syria, akan kembali menikmati kestabilan dan penderitaan rakyatnya berakhir,” katanya.
Kenyataan itu menyusul laporan bahawa Syria sedang membuat persiapan untuk menghantar anggota tenteranya ke Arab Saudi dan Yemen ketika Riyadh berusaha mendapatkan sokongan sekutu serantau susulan serangan berulang kali oleh Houthi.
Pada Sabtu, sumber diplomatik Syria memberitahu Agensi Berita Arab Syria (SANA) bahawa perjanjian ketenteraan dengan Arab Saudi hanya melibatkan latihan, pertukaran kepakaran dan rundingan ketenteraan.
Sumber itu menolak laporan mengenai penghantaran tentera Syria ke Yemen, selain memaklumkan lawatan penyelarasan ketenteraan Arab Saudi ke Syria akan bermula pada Disember.
Bagaimanapun, pegawai berkenaan memberi bayangan kerjasama itu mungkin diperluaskan melangkaui skop semasanya pada masa hadapan.
Menurut sumber itu, kerjasama ketenteraan berkenaan berpotensi membawa kepada perjanjian pertahanan bersama atau penyertaan Syria dalam Perikatan Pertahanan Makkah, bergantung kepada kepentingan bersama.
Perikatan Pertahanan Makkah dianggotai Türkiye, Arab Saudi dan Pakistan.-AGENSI
The post Syria nafi hantar tentera ke Yemen tentang Houthi appeared first on Utusan Malaysia.

