Syria pertimbang hantar 20,000 tentera ke Yemen

WorldPolitics
10 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Syria pertimbang hantar 20,000 tentera ke Yemen

DAMSYIK: Syria sedang mempertimbangkan kemungkinan menghantar sehingga 20,000 anggota tentera bagi menyertai operasi ketenteraan yang disokong Arab Saudi terhadap kumpulan Houthi di Yemen, lapor Axios yang memetik pegawai Amerika Syarikat (AS).

Pasukan kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa melancarkan serangan balas besar-besaran bagi merampas semula wilayah yang dikuasai Houthi, termasuk kawasan sekitar Selat Bab al-Mandab yang strategik.

Gabungan pimpinan Arab Saudi menyokong operasi itu menerusi serangan udara besar-besaran terhadap kedudukan Houthi.

Menurut laporan Axios, Riyadh dan Damsyik sedang membincangkan kemungkinan penempatan sehingga 20,000 anggota tentera Syria. 

Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, yang sebelum ini mengetuai kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS), dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan itu tetapi masih belum membuat keputusan.

Menurut sumber, perkara itu dibincangkan ketika Ahmed bertemu Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman di Riyadh pada Selasa.

Arab Saudi mahu memperkukuh pasukan kerajaan Yemen yang menurut pegawai AS mempunyai tahap latihan lebih rendah berbanding anggota Houthi.

Washington pada dasarnya tidak membantah cadangan itu dan melihatnya sebagai langkah memperkukuh operasi berkenaan tanpa perlu meningkatkan penglibatan langsung tentera AS, menurut Axios. 

Markas Pusat AS (CENTCOM) turut dirujuk mengenai kaedah penempatan anggota tentera Syria.

Unit Syria yang sedang dipertimbangkan dilaporkan merangkumi ribuan pejuang asing yang pernah menentang bekas Pre­siden, Bashar al-Assad di bawah naungan HTS sebelum beliau digulingkan pada Disember 2024.

Penglibatan mereka berpotensi memperdalam perpecahan mazhab kerana pejuang terbabit terdiri daripada golongan Sunni, manakala Houthi menganut Islam Syiah Zaidiyah.

Dalam laporan berasingan, Reuters melaporkan Damsyik sedang mempertimbangkan bantuan ketenteraan, termasuk sokongan pertahanan untuk Arab Saudi atau penyertaan dalam operasi di Yemen.

Bagaimanapun, penasihat presiden Syria, Ahmad Zaidan menafikan Riyadh meminta penghantaran tentera dan menyifatkan laporan berkenaan sebagai tidak berasas.

Pertempuran terbaharu itu menyusuli kemaraan wilayah Houthi di sepanjang pantai Laut Merah pada September yang mengancam laluan perkapalan melalui Selat Bab al-Mandab, laluan perdagangan penting yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.

Kepentingan laluan itu semakin meningkat susulan gangguan di Selat Hormuz akibat perang AS-Israel terhadap Iran.

Houthi turut mendakwa berjaya mengepung Taiz, sebuah bandar utama yang menghubungkan utara dan selatan Yemen dengan pantai Laut Merah selepas memutuskan laluan bekalan penting ke bandar pelabuhan Aden di selatan.

The post Syria pertimbang hantar 20,000 tentera ke Yemen appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved