Syukur! 5 hari ditidurkan, wanita dihempap balak mula sedarkan diri. 'Boleh bercakap tapi perlu masa gerakkan badan'

17 Jul 2024 • 9:11 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

WANITA yang nyaris maut dihempap balak dalam kejadian di lampu isyarat di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini 9 Julai lepas, kini dilaporkan mula sedarkan diri.

Syukur! Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, dikhabarkan berada dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya oleh tunangnya, Amnan Arif Nik Anuwar, 22.

"Alhamdulillah selepas kira-kira lima hari ditidurkan, Siti Norelyana mula sedar semalam.

"Dia juga boleh bercakap dengan baik tetapi masih memerlukan masa untuk menggerakkan anggota badan," katanya.

Nik Amnan berkata setakat ini dia tidak dimaklumkan mengenai rawatan selanjutnya yang akan dijalankan ke atas tunangnya itu.

image is not available

Terdahulu, kakak wanita itu memaklumkan Siti Norelyana akan menjalani pembedahan membuang buah pinggang yang rosak sebelah, tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru dan hempedu yang mengalami luka teruk.

Bagaimanapun, prosedur itu hanya dilakukan apabila keadaan wanita itu stabil dan baik.

Sebelum ini, Siti Norelyana nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya dihempap kayu balak yang jatuh dari sebuah lori ketika berhenti di lampu isyarat di persimpangan itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kemalangan berpunca daripada 'turn-table' lori balak itu patah ketika mengambil selekoh.

image is not available

Warganet turut menitipkan kesyukuran dan mendoakan Siti Norelyana terus sihat dan meminta keluarga mengambil tindakan selanjutnya. Ujar mereka:

"Alhamdulillah, semoga cepat-cepat kembali sihat dik."

"Alhamdulillah semoga cepat sembuh. Ramai rakyat Malaysia mendoakan kamu."

"Alhamdulillah syukur semoga terus kuat lawan sakit..Ya ALLAH berikanlah kesembuhandan dipermudahkan segala urusan perawatan perubatannya."

"Periksa agensi yang terlibat kerana untuk meluluskan kayu balak keluar ke jalan raya permit perlu dikeluarkan."

SinarPlus mendoakan agar Siti Norelyana melalui proses pemulihan dengan lancar, aamiin.