TA Securities optimis terhadap prospek CSC Steel disokong kemajuan strategi China+1

LocalBusiness & Finance
19 May 2025 • 11:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities optimis terhadap prospek CSC Steel disokong kemajuan strategi China+1

image is not available

19/05/2025 - 11:14

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mei - TA Securities optimis terhadap prospek pertumbuhan CSC Steel Holdings Bhd disokong pengurangan pengeluaran strategik dalam kalangan pengeluar keluli China dan peralihan startegi China+1 yang semakin pantas, khususnya dalam respons kepada tarif baharu yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Firma penyelidikan itu bagaimanapun kekal berhati-hati terhadap prospek pasaran yang lebih luas.

Katanya, pasaran keluli Malaysia mungkin terus menghadapi tekanan lebihan bekalan yang berterusan disebabkan kapasiti pengeluaran China yang berlebihan dan import haram.

"Selain itu, pelancaran projek infrastruktur berskala besar yang lebih perlahan daripada jangkaan dan kelemahan yang berterusan dalam permintaan pasaran akhir berkemungkinan akan mempengaruhi sebarang pemulihan purata harga jualan (ASP) yang ketara untuk produk keluli dalam jangka masa terdekat," katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, untung bersih kumpulan meningkat kepada RM12.59 juta pada suku pertama berbanding RM8.73 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Hasil turun 17.3% kepada RM328.6 juta daripada RM397.43 juta, dalam keadaan volum pesanan keluli yang lebih rendah dengan permintaan pasaran yang lebih lemah.

Berikutan prestasi pendapatan yang lebih kukuh daripada jangkaan, TA Securities telah melaraskan andaian kos untuk produk keluli tertentu.

Katanya, ramalan pendapatan FY25-FY27 telah disemak lebih tinggi masing-masing sebanyak 47.3%/24.8%/8.4%.

Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan kepada "pegang" daripada "jual" dengan harga sasaran (TP) RM1.23 sesaham bagi mencerminkan profil ganjaran risiko yang lebih seimbang. - DagangNews.com

standard