TA Securities semak turun unjuran keuntungan bersih ELK-Desa bagi FY24-26 kesan cabaran persekitaran makroekonomi

Business & Finance
11 Sep 2023 • 11:29 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities semak turun unjuran keuntungan bersih ELK-Desa bagi FY24-26 kesan cabaran persekitaran makroekonomi

diyana

11/09/2023 - 11:29

KUALA LUMPUR 11 Sept - TA Securities menyemak turun unjuran keuntungan bersih ELK-Desa Resources Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 hingga 2026 (FY24/25/26) masing-masing kepada RM37.3 juta, RM38.7 juta dan RM41.1 juta berbanding RM41.2 juta, RM43 juta dan RM45.5 juta.

Firma penyelidikan itu berkata pengeluaran sewa beli kumpulan itu dalam suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) telah berkurangan kepada RM44.3 juta, setelah mencatatkan pertumbuhan penghutang kukuh dalam tahun kewangan sebelumnya didorong oleh pemulihan ekonomi dan sentimen pengguna bertambah baik, yang kian berkurangan.

Namun, ia menjangkakan penghutang sewa beli ELK-Desa akan terus berkembang, dengan unjuran peningkatan 9% pada FY24, diikuti dengan sedikit peningkatan kepada 10% pada FY25 dan FY26.

“Kami percaya ramalan kami adalah munasabah disebabkan 1) pembeli kereta mencari alternatif menjimatkan kos, yang boleh mendorong peningkatan permintaan untuk pilihan kereta terpakai, 2) bekalan kereta terpakai yang semakin meningkat di pasaran dan 3) inisiatif berterusan pengedar seperti menawarkan program jaminan lanjutan bagi meyakinkan pembeli.

“Walaupun pertumbuhan penghutang sewa beli dijangka menjadi sederhana, kami tetap optimis bahawa ELK-Desa berada pada kedudukan yang baik untuk melepasi paras sebelum COVID sebanyak RM610 juta menjelang akhir FY24,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, elaun rosot nilai kumpulan itu kembali normal, yang telah meningkat kepada 1.18% pada 1QFY24, daripada hapus kira bersih sebanyak 1.01% pada tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh kelembapan usaha kutipan dan pengurangan kadar pembayaran balik pelanggan.

Memandangkan persekitaran makroekonomi yang sentiasa mencabar, firma itu berkata pendapatan mempunyai potensi risiko menurun disebabkan oleh caj kemerosotan nilai yang lebih tinggi daripada jangkaan.

“Selaras dengan panduan pengurusan, kami telah melaraskan unjuran dengan meningkatkan caj kerugian kredit daripada 3% kepada 4% untuk FY24, FY25 dan FY26. Pelarasan ini sejajar dengan purata 4.1%, seperti yang dilaporkan dalam FY20 dan FY21,” tambahnya.

Menurut firma itu, kunci kira-kira masih sihat namun nisbah hutang-kepada-ekuiti dijangka meningkat, yang telah berada pada 0.52 kali dalam 1QFY24 berbanding 0.42 kali suku sebelumnya.

Bagaimanapun, disebabkan pertumbuhan penghutang sewa beli, TA Securities menjangkakan pinjaman akan beransur-ansur meningkat pada FY24/25/26 menerusi pengeluaran kemudahan pendiskaunan blok dan potensi terbitan nota jangka sederhana (MTN).

“Oleh itu, kami menjangkakan tahap nisbah hutang-kepada-ekuiti kumpulan akan terus meningkat. Kenaikan kos kewangan akibat peningkatan peminjaman mungkin menyebabkan tekanan menurun terhadap potensi pendapatan,” jelasnya.

Memandangkan potensi ganjaran risiko kekal sempit, TA Securities mengekalkan saranan ‘jual’ dengan nilai saksama (FV) dinaikkan kepada RM1.28 sesaham daripada RM1.23 sesaham.

Saham ELK-Desa setakat 11:21 pagi ini tidak berubah pada RM1.27, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM577.6 juta. - DagangNews.com