Segmen logistik, pergudangan Tiong Nam diunjur kembali catat keuntungan bagi baki FY24 - TA Research

Business & Finance
7 Sep 2023 • 12:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen logistik, pergudangan Tiong Nam diunjur kembali catat keuntungan bagi baki FY24 - TA Research

azan

07/09/2023 - 12:00

KUALA LUMPUR 7 Sept - TA Research optimis bahawa segmen logistik dan pergudangan Tiong Nam Logistics Holdings Berhad kembali mencatatkan keuntungan bagi baki tahun kewangan 2024 (FY24).

Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan kumpulan itu percaya bahawa kekurangan tenaga kerja akan terus menghantui segmen tersebut.

"Kumpulan itu akan berusaha untuk meningkatkan penggunaan automasi gudang dan menggunakan teknologi lain untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Keputusan 1QFY24 menyaksikan terdapat kelemahan dalam pergerakan barangan akibat peningkatan kos sekali gus menjejaskan segmen logistik dan pergudangan.

Hasil daripada segmen ini menguncup secara berurutan untuk dua suku berturut-turut walaupun mencatatkan kadar penghunian gudang yang lebih tinggi pada 88% (berbanding 85% pada 4QFY23).

Keadaan itu diburukkan lagi oleh peningkatan dalam kos tenaga kerja dan faedah, membawa kerugian bersih bagi dua suku tahun skira-kira RM3.6 juta bagi 4QFY23 dan 1QFY24.

TA Research berkata, kumpulan itu melihat kelebihan terhadap gudangnya di Senai yang dijangka meningkatkan pendapatan mulai 3QFY24 dan seterusnya.

Katanya, gudang itu telah pun memperoleh sijil siap dan pematuhan pada Ogos 2023 dan akan mula beroperasi pada pertengahan November ini.

"Gudang baharu ini dijangka menjana pendapatan kira-kira RM25 juta setahun, bersamaan dengan 3.6% daripada jumlah hasil daripada segmen logistik dan pergudangan untuk FY24.

"Bagaimanapun, Tiong Nam tidak akan mengambil bahagian dalam peranan pengurusan gudang tetapi boleh terlibat dalam logistik kerana penyewa berkemungkinan menggunakan model berbilang pengendali untuk pengedaran produk mereka," katanya.- DagangNews.com