Ta Win lupus tanah industri kepada Metal Recovery berharga RM44.5 juta

LocalBusiness & Finance
4 Jun 2025 • 10:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ta Win lupus tanah industri kepada Metal Recovery berharga RM44.5 juta

image is not available

04/06/2025 - 10:02

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Jun — Ta Win Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Ta Win Industries (M) Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli bersama Metal Recovery Industries Sdn Bhd untuk melupuskan tanah perindustriannya dengan harga RM44.5 juta.


Syarikat tersebut berkata, tanah berkeluasan 1.6187 hektar yang terletak di Selangor itu kini merupakan kawasan hartanah kosong dan tidak beroperasi, serta menjadikannya sebagai tidak begitu penting kepada perniagaan terasnya sendiri.


Ia menambah, rasional di sebalik pelupusan itu juga adalah untuk memberi kumpulan berkenaan tumpuan kepada operasi teras dan dengan penjualan aset terbiar tersebut, perolehannya akan membuka aliran kunci tunai tambahan.


"Kami boleh mengurangkan peminjaman dan kos faedah selain meningkatkan modal kerja, serta meletakkan Ta Win untuk merebut peluang masa depan dan mengurus turun naik pasaran," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia


Langkah itu tambahnya, disifatkan sebagai kecekapan sumber dengan menghapuskan kos berterusan bagi aset tidak digunakan dan menyokong peruntukan secara optimum, membolehkan Ta Win menjadi responsif kepada permintaan pasaran yang berkembang.


Kumpulan pengilang wayar dan rod tembaga itu bagaimanapun menyatakan, cadangan pelupusan tanah tersebut akan mengakibatkan Ta Win mengalami kerugian bersih kira-kira RM3.6 juta selepas ditolak anggaran kos sampingan.


Ia menambah, menurut piawaian perakaunan yang terpakai, lebihan penilaian semula yang dikaitkan dengan hartanah itu akan diklasifikasikan semula daripada rizab penilaian kepada pendapatan tertahan dalam ekuiti pemegang saham.


"Selain daripada sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pelupusan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada tempoh separuh kedua 2025," katanya. - DagangNews.com

standard