Tabika Kemas Autisme pertama di Malaysia dibuka tahun depan

LocalPolitics
24 Dec 2024 • 7:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Muhamad Akmal (dua dari kanan) bersama Ahmad Zahid (dua dari kiri) dalam satu pertemuan bagi membincangkan pembukaan Tabika Kemas Autisme di Melaka. Foto FB Akmal Saleh

SHAH ALAM - Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) autisme pertama di Malaysia akan dibuka pada tahun depan di setiap daerah bermula di Melaka dengan mengutamakan anak-anak golongan B40.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan pelaksanaan tersebut diterima baik selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ketua Pemuda UMNO itu, antara keluhan yang dikenal pasti adalah kos kelas terapi di pusat swasta amat tinggi dan membebankan ibu bapa dari segi kewangan.

"Kita tidak mahu disebabkan kekangan kewangan, anak-anak syurga ini tercicir peluang pelajaran.

"Cadangan pelaksanaan tabika Kemas autisme pertama di Malaysia diterima baik dan akan dimulakan di Melaka, insya-ALLAH tahun depan.

"Kita dengar, kita faham dan kita selesaikan. Terima kasih ayahanda presiden (Ahmad Zahid)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada Julai lalu, media melaporkan seramai enam guru terpilih untuk bertugas di Tabika Kemas Autisme di Melaka.

Pengarah Kemas Melaka, Asri Saleh memaklumkan, individu terbabit dipilih selepas menjalani saringan awal bagi mencari guru berkelayakan terutamanya pemegang Ijazah Pendidikan Awal Kanak Kanak dengan pengkhususan bidang Pendidikan Khas.

Jelas beliau, pemilihan guru adalah salah satu daripada persediaan yang dilakukan Kemas dalam menjayakan projek rintis pertama di Melaka.