
Kota Kinabalu: Tabs Bandaraya akan mengambil bahagian dalam kesemua tujuh kategori pada kejohanan bola sepak Piala Borneo yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.
Naib pengerusi SA Ramlye berkata selain kategori bawah 11,12,13,14,15 dan 16, mereka juga akan menghantar pasukan dalam kategori bawah 18 yang baru diperkenalkan.
“Pada masa ini program pembangunan kami ditangguhkan buat sementara waktu dalam bulan puasa.
“Persiapan Piala Borneo kami akan bermula sejurus selepas sambutan Hari Raya dengan pemilihan pemain bagi setiap kategori dan pelantikan jurulatih.
“Ini selaras dengan langkah yang diambil oleh kami untuk membuat persediaan kira-kira lima bulan lebih awal sebelum kejohanan bermula bagi memastikan kami dapat membentuk pasukan yang cukup kuat untuk memberi impak menentang pasukan lain, terutama dari luar negara.
“Penyertaan kami dalam kejohanan ini setiap tahun juga amat penting untuk membolehkan pemain menimba pengalaman berharga,” katanya.
Tahun lalu, Tabs Bandaraya bertanding dalam enam kategori dan mendapat naib juara kategori bawah 15 tahun dan tempat ketiga dalam kategori bawah 16 tahun.
Beliau juga berkata persiapan mereka menghadapi Kejohanan Piala Borneo tidak akan menjejaskan pasukan yang akan beraksi dalam Liga Suparimau yang akan diadakan pada setiap hujung minggu.


