Tabung Haji raih tempat ketiga Anugerah Kesedaran dan Media Haji 2026

23 Nov 2026 • 1:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tabung Haji raih tempat ketiga Anugerah Kesedaran dan Media Haji 2026
Pengiktirafan itu sempena Persidangan dan Pameran Haji edisi ke-6 yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi pada 8 hingga 11 November lalu.

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) terus mengukuhkan kecemerlangannya di peringkat antarabangsa apabila meraih tempat ketiga Anugerah Kesedaran dan Media bagi musim Haji 1447H/2026M.

Pengiktirafan itu sempena Persidangan dan Pameran Haji edisi ke-6 yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi pada 8 hingga 11 November lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, ia diberikan atas usaha berterusan pihaknya dalam memperkasakan program pendidikan, bimbingan dan penyampaian maklumat kepada jemaah haji Malaysia bagi meningkatkan tahap kesedaran, kefahaman serta kesiapsiagaan melaksanakan ibadah.

"Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan usaha pendidikan dan bimbingan haji yang dilaksanakan TH, di samping peranan media massa dan media sosial.

"Ia juga pemangkin kepada TH untuk terus mempertingkatkan mutu program bimbingan dan penyebaran maklumat berkaitan haji melalui kandungan digital, teknologi serta pendekatan komunikasi yang lebih berkesan dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan jemaah.

"TH kekal komited untuk memastikan setiap jemaah haji Malaysia mendapat akses kepada maklumat dan bimbingan yang menyeluruh, sekali gus memperkukuh mutu perkhidmatan serta pengalaman menunaikan ibadah haji di Tanah Suci,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Penilaian Anugerah Kesedaran dan Media bagi musim Haji 1447H/2026M mengambil kira beberapa aspek utama termasuk kualiti kandungan pendidikan dan kesedaran, kepelbagaian kaedah dan saluran penyampaian maklumat.

Selain itu, keberkesanan program bimbingan dan inisiatif yang dilaksanakan dalam membantu jemaah memahami serta menyempurnakan ibadah dengan lebih teratur.

Berdasarkan kaji selidik tahap kesedaran jemaah haji Malaysia yang dilaksanakan pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi musim haji 1447H/2026M, TH mencatatkan Indeks Kesedaran Keseluruhan sebanyak 72.7 peratus.

Anugerah tersebut turut menyaksikan pengiktirafan kepada beberapa negara lain termasuk Turkiye, Singapura, Iraq, Syria, Tunisia dan Ethiopia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved