Tabung Kewangan Asia perkukuh kerjasama Malaysia dengan negara serantau - Ahmad Maslan
zulfadli
21/06/2023 - 11:53
KUALA LUMPUR 21 Jun - Tabung Kewangan Asia (AMF) dilihat sebagai langkah seterusnya dalam kerjasama Malaysia dengan negara-negara serantau Asia, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, pada masa ini, fokus negara adalah melibatkan kerjasama dengan negara-negara lain untuk menambah baik mekanisme sedia ada dan juga melakukan kajian yang lebih mendalam.
"Pertimbangan mengenai negara mana yang akan menjadi tuan rumah bergantung kepada kesepakatan negara-negara di rantau Asia yang terdiri daripada 68 buah negara," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya adakah Malaysia menjadi tuan rumah bagi pengurusan tatakelola AMF seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke China, baru-baru ini.
Ahmad Maslan berkata, penubuhan AMF buat masa ini masih di peringkat cadangan dan dilihat sebagai langkah penting dalam mengukuhkan kewangan serantau dan menjadi platform bantuan negara yang terlibat krisis.
Beliau berkata, antara inisiatif yang telah diadakan bagi mengukuhkan keupayaan negara dan meningkatkan keyakinan negara-negara Asia terhadap potensi ekonomi negara dalam rantau Asia termasuklah Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM), yang merupakan pengaturan pertukaran mata wang antara negara-negara ASEAN+3.
Katanya, inisiatif ini membolehkan negara serantau berkongsi dana sekiranya salah sebuah negara mengalami krisis mudah tunai.
"Kerjasama ini turut diperkukuhkan melalui penubuhan sebuah institusi pengawasan ekonomi serantau iaitu Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3," katanya.
Menurutnya, pada peringkat ASEAN, Malaysia telah melaksanakan pengaturan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan bersama dengan Indonesia dan Thailand.
"Rangka kerja ini memudahkan negara-negara yang terlibat menggunakan mata wang tempatan untuk transaksi dua hala yang melibatkan perdagangan dan pelaburan," katanya.
Beliau berkata, pada November 2022, Gabenor Bank Pusat ASEAN melalui Deklarasi Peningkatan Kesalinghubungan Pembayaran Serantau dan Penggalakan Transaksi Mata Wang Tempatan telah bersetuju untuk menggalakkan lagi penggunaan mata wang tempatan untuk transaksi ekonomi dan kewangan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
"Ini merupakan langkah awal untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dan meningkatkan lagi kestabilan kewangan serantau.
"Negara-negara serantau akan terus meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan mekanisme dari semasa ke semasa supaya kestabilan ekonomi dan kewangan serantau terus terjamin," katanya.
Sementara itu, dalam soalan tambahannya, Mohd Hisamudin juga ingin tahu hala tuju penggunaan mata wang dua hala bagi menggantikan mata wang dolar AS sebagai mata wang dagangan utama untuk membiayai perdagangan dan pelaburan antarabangsa dalam kalangan negara ASEAN.
Ahmad Maslan berkata, rumusan perdagangan menggunakan mata wang renminbi China, baht Thailand dan rupiah Indonesia kini masing-masing sebanyak 16%, 16.1% dan 16.6% daripada keseluruhan rumusan perdagangan. - DagangNews.com



