Tabung Solidariti Najib: Ketelusan dana RM50 juta jadi persoalan

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tabung Solidariti Najib: Ketelusan dana RM50 juta jadi persoalan
Datuk Seri Najib Razak

ISU kutipan Tabung Solidariti Najib Razak yang meningkat daripada RM9.25 juta kepada RM50 juta dalam tempoh 40 hari menimbulkan persoalan mengenai ketelusan sumber dana serta mekanisme pemantauan sumbangan politik di negara ini.

Peningkatan kutipan mencetuskan desakan beberapa pihak supaya siasatan dijalankan bagi memastikan sumber wang yang diterima tidak melibatkan unsur rasuah, pengubahan wang haram atau kepentingan tertentu.

Antara pihak yang menyuarakan kebimbangan itu termasuk Datuk A Kadir Jasin seperti dilaporkan Sinar Harian pada Selasa, yang berpandangan kutipan berjumlah puluhan juta ringgit dalam tempoh singkat memerlukan penjelasan lebih terperinci.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan sumbangan besar berkenaan mempunyai kaitan dengan pihak yang mempunyai kepentingan perniagaan atau konsesi dengan kerajaan.

Sehubungan itu, gesaan supaya agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) meneliti aliran dana berkenaan turut dikemukakan.

Langkah itu dilihat penting bagi memastikan wang yang disumbangkan tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan menyalahi undang-undang.

Selain itu, ketiadaan undang-undang khusus berkaitan pembiayaan politik di Malaysia turut dibangkitkan sebagai antara kelemahan dalam mekanisme pemantauan sumbangan kepada parti politik atau individu.

Keadaan itu dikatakan boleh membuka ruang kepada persoalan mengenai sumber dana dan tahap ketelusan pengurusan sumbangan politik.

Bagaimanapun, dari sudut pihak yang mempertahankan kutipan berkenaan, tabung itu dilihat sebagai inisiatif solidariti secara sukarela dalam kalangan ahli dan penyokong parti.

Sumbangan juga dianggap sebagai sebahagian daripada amalan solidariti politik bagi membantu pemimpin atau rakan seperjuangan berdepan beban denda mahkamah, selagi pelaksanaannya tidak melanggar undang-undang sedia ada.

Pendirian itu turut bersandarkan pandangan bahawa parti politik mempunyai hak untuk menggerakkan sokongan kewangan dalam kalangan ahli dan penyokong tanpa unsur paksaan atau janji pemberian kontrak kerajaan kepada penyumbang.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak pengurusan tabung melalui Setiausaha Agung UMNO memaklumkan sasaran kutipan telah dicapai dan akaun tabung berkenaan ditutup.

Selain itu, terdapat kenyataan mengenai kesediaan pihak pengurusan untuk memastikan ketelusan dalam pengendalian dana berkenaan.

Dari sudut kepentingan awam, isu itu sekali lagi memperlihatkan keperluan kepada mekanisme yang lebih jelas bagi memastikan pengurusan sumbangan politik dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Rakyat juga wajar diberikan penjelasan sewajarnya mengenai sumber serta aliran dana berskala besar bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap institusi politik negara.

Pada masa sama, isu berkenaan mengukuhkan keperluan Parlimen mempertimbangkan penggubalan Akta Dana Politik bagi mewujudkan kerangka perundangan khusus yang mengawal selia sumbangan kepada parti politik dan individu.

Melalui peruntukan sedemikian, sumber sumbangan, jumlah dana serta pengurusannya boleh tertakluk kepada keperluan pengisytiharan dan pemantauan yang lebih teratur.

Langkah itu bukan sahaja dapat meningkatkan akauntabiliti, malah berpotensi melindungi parti politik daripada dakwaan berkaitan salah guna dana serta memelihara keyakinan masyarakat terhadap sistem demokrasi.

Bagaimanapun, sebarang dakwaan berkaitan kutipan berkenaan perlu dinilai berdasarkan bukti dan tidak boleh disimpulkan sebagai suatu kesalahan hanya berdasarkan andaian.

Pihak berkuasa pula perlu menjalankan tanggungjawab secara profesional sekiranya terdapat asas dan bukti yang memerlukan penelitian, manakala hak semua pihak untuk memberikan penjelasan serta mempertahankan diri perlu dihormati.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved