Tadabbur Surah Al-Muzzammil perkukuh integriti, amanah - KTMB

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 11:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seramai 42 warga kerja KTMB mengambil peluang turut serta dalam WQH 2026 bersama Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (tengah).

SHAH ALAM — Program World #QuranHour (WQH) dilihat bukan sekadar aktiviti kerohanian tetapi juga ruang membina kesedaran tentang nilai al-Quran boleh diterjemahkan dalam budaya kerja yang telus, amanah dan bebas rasuah.

Ketua Integriti dan Governan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ahmad Syamil Ahmad Shuhaimi berkata, WQH 2026 yang memasuki tirai penganjurannya yang ke-11 itu turut menjadi pengalaman bermakna, menyentuh dimensi rohani dan nilai kemanusiaan.

"Ia memperlihatkan bagaimana al-Quran mampu menyatukan masyarakat merentasi latar belakang, pekerjaan dan negara di bawah satu nilai yang sama iaitu kembali kepada panduan wahyu dalam membentuk kehidupan yang lebih baik.

"Melalui sesi tadabbur Surah Al-Muzzammil, para peserta diingatkan bahawa perubahan besar dalam masyarakat bermula dengan pembinaan jiwa manusia.

"Surah tersebut menekankan kepentingan disiplin diri, kesabaran dan kekuatan spiritual dalam menghadapi amanah kehidupan," katanya kepada Rasuah Busters.

WQH 2026 yang disiarkan secara langsung di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mengangkat Surah Al-Muzzammil sebagai surah pilihan dengan tema 'Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia'.

Seramai 42 warga kerja KTMB mengambil peluang turut serta dalam program yang diadakan secara serentak di seluruh negara dan beberapa negara lain itu.

Tambah Ahmad Syamil, bagi warga KTMB yang memikul tanggungjawab besar dalam sektor pengangkutan rel negara, nilai-nilai tersebut amat signifikan.

"Disiplin, ketelitian dan rasa tanggungjawab bukan sahaja memastikan kelancaran operasi perkhidmatan, malah menjadi asas kepada keselamatan penumpang serta kepercayaan masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam negara.

"Dalam konteks organisasi, penghayatan nilai al-Quran ini juga selari dengan usaha berterusan KTMB memperkukuh tadbir urus melalui pelaksanaan pensijilan Sisterm Pengurusan Antirasuah (ABMS), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) serta Kit Integriti. Inisiatif ini menekankan aspek integriti, akauntabiliti dan pematuhan dalam setiap peringkat pelaksanaan tugas," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Syamil berharap lebih ramai warga organisasi akan terus menyertai program seumpama itu agar penghayatan terhadap nilai-nilai al-Quran dapat diperkukuh dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan masyarakat serta institusi yang lebih berintegriti.