WQH sasar jadi kempen sukarela global seperti Earth Hour - Hussamuddin

11 Mar 2026 • 5:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hussamuddin (dua dari kanan) membaca Ikrar Untuk Al-Quran dalam program WQH 2026 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak pada Rabu.

GOMBAK – World #QuranHour (WQH) 2026 yang julung kali berlangsung dalam bahasa Inggeris kali ini disasar untuk dicontohi secara sukarela oleh pelbagai pihak di negara lain yang akhirnya menjadi satu kempen global seperti Earth Hour.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, inisiatif itu sebagaimana kempen WQH yang kini telah diadakan secara meluas di seluruh Malaysia dan beberapa tempat di seluruh dunia.

“Jadi kita berharap kempen ini dapat ditiru dan diperluaskan oleh negara-negara lain. Ia kerana sejak 10 tahun dahulu kita anjurkan WQH tetapi apabila kita menyiarkannya, orang asing tidak memahaminya.

“Apabila ia disiarkan dalam bahasa Inggeris masyarakat antarabangsa akan lebih memahaminya. Seperti yang saya lihat tadi, kebanyakan duta sudah datang banyak kali tetapi ada yang tidak mendapat mesej program ini sepenuhnya.

“Sebab itu apabila ia dibuat dalam bahasa Inggeris, mereka akan memahami makna sebenar WQH. Kita berharap konsep ini dapat diperluaskan dan menjadi seperti Earth Hour,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya program WQH di lokasi perdana Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Rabu.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencemar duli menyertai program berkenaan yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan Pengasas Bersama Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah.

Hussamuddin berkata, separuh daripada kira-kira 4,000 peserta yang menyertai WQH di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah adalah peserta antarabangsa.

Menurutnya, WQH di UIAM akan terus diadakan dalam bahasa Inggeris selepas ini bagi memanfaatkan jaringan alumni universiti itu yang dianggarkan berjumlah 140,000 orang di 140 negara seluruh dunia.

Kata beliau lagi, dengan jumlah itu UIAM ketika ini juga mempunyai paling ramai alumni dari luar negara dengan ada antara mereka turut bergelar menteri.

“Apa-apa pun kempen yang berskala besar, ia melalui proses, sepanjang 10 tahun di Malaysia kita nak mantapkan proses dahulu dan sekarang kita boleh lihat sudah banyak pihak tampil anjurkan sendiri gerakan ini.

“Jadi untuk tahun ke-11 ini, kita mahu gunakan UIAM sebagai platform untuk mendunia. Sekarang bila keyakinan kita makin meningkat dan dengan adanya pakar-pakar dari UIAM untuk nasihatkan kita, jadi kita buat program ini bahasa Inggeris,” ujarnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai gesaan Al-Sultan Abdullah supaya umat Islam kembali berpegang kepada ajaran al-Quran serta sunnah Nabi Muhammad SAW di saat dunia ketika ini ‘digoncang’ dengan peperangan, Hussamuddin menegaskan, desakan itu selari dengan matlamat WQH.

“Ini selaras dengan matlamat utama gerakan Quran ini untuk mengQurankan ummah agar kembali reset cara fikir melalui Baca, Faham dan Amalkan Al-Quran kerana ketika ini kita boleh lihat tingkah laku pemimpin Islam Asia Barat sendiri serta apa keutamaan mereka,” ujarnya.