Tadika swasta tenat, nak dapat 10 murid pun susah

18 Sep 2026 • 10:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tadika swasta tenat, nak dapat 10 murid pun susah

PETALING JAYA – Penurunan ketara hampir 50 peratus pendaftaran kanak-kanak berumur enam tahun ke taman didikan kanak-kanak (tadika) swasta di seluruh negara tahun depan memberi tekanan kepada para pengusaha.

Berbaki tiga bulan lagi sebelum mema­suki tahun 2027, pendaftaran yang diterima pengusaha tadika merudum dengan ada antaranya menerima pendaftaran kurang 10 kanak-kanak berusia enam tahun berbanding 25 orang sebelum ini.

Situasi itu susulan pelaksa­naan kema­sukan awal ke tahun satu pada usia enam tahun bagi sesi persekolahan 2027 selain pertambahan kelas prasekolah.

Pengerusi Persatuan Tadika Swasta Negeri Melaka, Suhaili Othman menegaskan, kemasukan awal itu menyebabkan pengusaha tadika bergelut untuk meneruskan operasi sehingga ada antaranya didakwa berdepan risiko gulung tikar.

Menurutnya, ini termasuk pengusaha yang telah beroperasi lebih 30 tahun.

“Pelaksanaan bermula tahun itu di­jangka memberi kesan besar kepada hampir 300 pengusaha di negeri ini apabila dua kumpulan kanak-kanak memasuki darjah satu pada 2027. Ini cabaran besar kerana jumlah murid di tadika swasta akan berkurangan.

“Keadaan ini turut memberi kesan kepada kelangsungan operasi tadika, lebih-lebih lagi apabila kos operasi terus me­­­ningkat,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, tinjauan awal di tadikanya mendapati kira-kira 30 peratus daripada 20 murid tahun ini memilih memasuki darjah satu, manakala selebihnya masih belum membuat keputusan.

“Ini baru satu tadika, kalau dilihat keseluruhan tadika swasta, kesannya tentu lebih besar. Sebelum ini, boleh dikatakan setiap tadika mempunyai sekitar 25 murid untuk setiap peringkat umur iaitu empat, lima dan enam tahun.

“Tetapi setakat ini pendaftaran diterima bawah 10 orang. Ada juga maklumat daripada pengusaha lain mereka hanya mempunyai dua hingga tiga orang sahaja murid mengikut umur,” ujarnya.

Pada 3 Mac lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan seramai 73,386 kanak-kanak berusia lima tahun memohon kemasukan ke tahun satu, sesi 2027.

Jumlah itu menjadikan bilangan murid darjah satu pada tahun depan adalah seramai 478,419 orang dengan 405,033 murid berusia tujuh tahun.

Suhaili berkata, tekanan pe­ngusaha tadika swasta turut meningkat apabila kos berkaitan operasi termasuk lesen perniagaan, lesen pembangunan serta perubahan syarat pihak berkuasa tempatan meningkat sehingga 45 peratus tahun ini.

“Kos-kos ini kami kena tambah sedangkan pendapatan berkurangan. Gaji guru setiap orang minimum RM1,700. Jadi, pengusaha perlu fikir bagaimana hendak terus menampung kos operasi dan pada masa sama mengekalkan kualiti pendidikan.

“Kalau tiada penyelesaian, kita bimbang lebih banyak tadika yang sudah lama beroperasi a­khirnya tidak mampu bertahan,” katanya.

Tambahnya, tadika swasta bukan sekadar menyediakan pendidikan asas, malah memainkan peranan dalam perkembangan bahasa, sosial, emosi serta persediaan kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan.

Tegasnya, data Kementerian Pendidikan (KPM) turut me­nunjukkan kemenjadian kanak-kanak paling tinggi adalah dalam kalangan mereka yang mengikuti pendidikan di tadika swasta.

Sementara itu di Ipoh, Pengerusi Persatuan Pe­ngusaha-Pengusaha dan Guru-Guru Tadika Swasta Ne­geri Perak (PTSP), Sharifah Nor Hayati Syed Mohammad berkata, lebih 50 peratus daripada 517 pengusaha terjejas dengan pelaksanaan kemasukan awal ke sekolah.

“Isu ini menyebabkan segelintir pengusaha tadika tidak mampu lagi untuk meneruskan perniagaan kerana jumlah pendaftaran murid menurun secara mendadak.

“Ada pemilik tadika yang memaklumkan mereka hanya menerima 10 hingga 15 murid bagi tahun hadapan, sedangkan kapasiti kelas sekitar 30 orang.

“Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mampu menanggung kos operasi dan terpaksa memilih jalan menutup tadika yang diusahakan,” katanya.

Sharifah Nor Hayati berkata, taska miliknya turut berdepan situasi sama apabila hanya 15 kanak-kanak mendaftar.

“Dengan yuran bulanan RM175 seorang, itulah digunakan untuk membayar bil utiliti dan Wi-Fi, bahkan gaji guru-guru,” ujarnya.

Beliau berkata, ahli persatuan turut terikat dengan undang-undang apabila tadika swasta hanya boleh mengambil kanak-kanak seawal usia empat tahun kerana usia tiga tahun terikat dengan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308).

“Pada masa sama, mereka yang berusia 5 tahun ramai didaf­tarkan ibu bapa masing-masing untuk memasuki prasekolah,” katanya

Sementara itu, pengurus Kinderhive Melaka, Maznah Muda berkata, kesan pengurangan murid sudah mula dirasai apabila ibu bapa mempunyai lebih ba­nyak pilihan sama ada menghantar anak ke prasekolah atau terus ke darjah satu.

“Contohnya tahun ini satu kelas boleh capai 16 murid, tetapi tahun depan nak dapat 10 orang pun susah. Kita memang nampak perbezaannya.

“Nasib baik Pusat Pendidikan Daerah benarkan ambil kanak-kanak tiga tahun ke atas untuk masuk tadika, kalau tidak kea­daan mungkin lebih mencabar kepada pengusaha,” katanya.

Menurut Maznah, dengan kadar yuran sekitar RM400 hingga RM450 sebulan, pengusaha kini perlu mencari kaedah lain untuk memastikan operasi tadika terus ­berjalan.

The post Tadika swasta tenat, nak dapat 10 murid pun susah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved