Tahaluf siyasi tidak gadai akidah, prinsip Islam

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tahaluf siyasi tidak gadai akidah, prinsip Islam
Mohd Sukki (kanan) dalam program Interviu x Podcast Sinar Harian yang dihoskan oleh Haizir di Kompleks Karangkraf, di sini.

SHAH ALAM - Kerjasama politik atau tahaluf siyasi di Pulau Pinang tidak bermakna umat Islam menggadaikan akidah dan prinsip Islam, sebaliknya menjadi ruang untuk memastikan agenda pembangunan Islam terus dilaksanakan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, tahaluf siyasi membawa maksud persefahaman, perjanjian dan kesepakatan, khususnya dalam kerjasama politik.

Menurut beliau, kerjasama antara orang Islam dan bukan Islam dibenarkan selagi tidak mengorbankan prinsip agama.

“Lakum dinukum waliya din. Kita boleh bekerjasama dalam perkara yang baik, tetapi akidah dan prinsip Islam tetap dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Interviu x Podcast Sinar Harian yang dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Karangkraf, di sini.

Mohd Sukki berkata, pentadbiran Islam di Pulau Pinang turut berasaskan pendekatan Maqasid Syariah yang menekankan maslahah dan keadilan, bukan sekadar melihat sesuatu perkara dari sudut halal dan haram.

Tegasnya, lima perkara asas yang perlu dipelihara ialah agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Syariat itu untuk maslahah manusia, dunia dan akhirat. Jadi apabila kita mentadbir, kita perlu melihat bagaimana syariat itu memberi manfaat kepada masyarakat dan mengelakkan kemudaratan,” katanya.

Menurutnya, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melaksanakan pendekatan berkenaan menerusi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 yang mengandungi lima teras dan 70 pelan tindakan.

Lima teras berkenaan ialah pembangunan sosioekonomi, pendidikan, keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiyah.

Beliau berkata, pembangunan sosioekonomi digerakkan antaranya melalui zakat dan wakaf bagi membantu golongan memerlukan serta memperkukuh pembangunan umat Islam.

Menurutnya, antara usaha wakaf ialah Wakaf Setee Aisah yang berasal daripada tanah sawah yang diwakafkan sejak 1901 dan manfaatnya masih diteruskan sehingga kini.

“Zakat dan wakaf ini bukan hanya untuk bantuan semata-mata, tetapi juga boleh menjadi instrumen pembangunan umat Islam,” katanya.

Dalam bidang pendidikan pula, katanya, bantuan zakat dan biasiswa disalurkan kepada pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi, selain pemberian tablet kepada sekolah.

Beliau berkata, MAINPP turut mempunyai Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), manakala Penang Islamic Digital Library (PIEL) ditempatkan di Kuliah Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir.

Mohd Sukki berkata, pembangunan keluarga, anak muda serta dakwah dan tarbiyah turut diperkasakan menerusi pelbagai program bagi meningkatkan kefahaman agama dan penglibatan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan Islam di Pulau Pinang perlu dilihat dalam konteks sejarah panjang negeri itu.

“Antara sejarah berkenaan ialah kewujudan Sheikh Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang pertama pada 1951, selain perkembangan pondok, sekolah agama dan institusi pengajian Islam.

“Pulau Pinang juga mempunyai kaitan dengan perjalanan jemaah haji dari Nusantara, termasuk kawasan Lebuh Acheh, selain Pusat Falak Sheikh Tahir dan Masjid Batu Uban yang menurutnya sudah wujud sebelum kedatangan Francis Light,” katanya.

Perpaduan asas pembangunan Islam

Mengulas persepsi bahawa agenda Islam sukar dilaksanakan di Pulau Pinang, beliau berkata, masyarakat perlu menilai keadaan sebenar dan tidak bergantung kepada maklumat yang tidak disahkan.

Menurutnya, MAINPP berada di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong dan urusan pentadbiran agama dilaksanakan melalui struktur serta jawatankuasa yang ditetapkan.

“Lebih dua tahun saya menjadi Mufti, saya tidak berdepan halangan untuk bercakap mengenai Islam. Fatwa juga dibacakan dalam khutbah Jumaat setiap minggu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan tabayyun sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat.

Menurutnya, antara dakwaan yang pernah tular ialah larangan penggunaan pembesar suara untuk azan di Pulau Pinang, sedangkan Jawatankuasa Fatwa menggalakkan azan Subuh dilaungkan dua kali, termasuk menggunakan pembesar suara.

Beliau turut menyentuh dakwaan berkaitan program transgender yang dikaitkan dengan Pulau Pinang, namun hasil semakan mendapati program itu berlangsung di Bangkok, Thailand, walaupun penganjurnya dari Pulau Pinang.

“Jangan terus percaya apa yang kita dengar. Dalam Islam ada konsep tabayyun. Kita perlu semak dahulu sebelum menyebarkan sesuatu,” katanya.

Menurutnya, umat Islam di Pulau Pinang juga perlu memperkukuh kekuatan ekonomi melalui zakat dan wakaf serta bersaing secara sihat dengan masyarakat bukan Islam.

Beliau berkata, perbezaan kaum dan agama tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membangunkan masyarakat.

“Kita perlu bersatu. Apabila kita bersatu, banyak perkara boleh kita lakukan untuk pembangunan Islam,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat melihat sendiri perkembangan Islam di Pulau Pinang dan tidak hanya bergantung kepada persepsi.

“Datanglah ke Pulau Pinang dan lihat sendiri. Sokong umat Islam melalui zakat dan wakaf. Kita mahu mencari keredaan ALLAH, bukan pujian manusia,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved