Jaga akidah ketika bersih rumah ibadat agama lain – Mufti

LocalOpinion
12 Oct 2026 • 2:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jaga akidah ketika bersih rumah ibadat agama lain – Mufti

GEORGE TOWN – Umat Islam dinasihatkan supaya mengelakkan penglibatan dalam aktiviti membersihkan rumah ibadat agama lain sekiranya ia membabitkan tempat atau peralatan khusus untuk ritual keagamaan yang bercanggah dengan akidah Islam.

Mufti Pulau Pinang, Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya berbuat baik dan menjalinkan hubungan harmoni dengan masyarakat berlainan agama, namun setiap tindakan perlu berpandukan batas syariat.

Menurutnya, terdapat perbezaan antara kerja-kerja yang mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan ritual agama lain dengan aktiviti kebersihan umum yang tidak melibatkan amalan keagamaan.

“Kerja-kerja yang mempunyai hubungan langsung dengan penyediaan, pemeliharaan atau pengendalian tempat dan peralatan khusus bagi pelaksanaan ritual agama lain, seperti membersihkan patung sembahan, altar pemujaan atau menyediakan ruang khusus untuk upacara penyembahan, perlu dielakkan.

“Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud, ‘Dan janganlah kamu saling membantu dalam melakukan dosa dan pencerobohan’,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai video tular yang memaparkan sekumpulan individu Islam dipercayai menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan sebuah kuil Hindu di negeri ini.

Mohd. Sukki berkata, umat Islam perlu mengelakkan aktiviti yang menjadi bantuan langsung kepada penyelenggaraan tempat peribadatan bagi tujuan ritual agama lain, namun perkara itu tidak bermaksud mereka dilarang membantu masyarakat bukan Islam dalam urusan kemanusiaan, kebajikan dan keselamatan.

“Kerja-kerja kebersihan umum seperti membersihkan longkang awam, mengutip sampah di kawasan kejiranan, membantu mangsa banjir serta membersihkan kawasan rekreasi pada asasnya dibenarkan selagi tidak melibatkan penyertaan dalam upacara keagamaan atau bantuan langsung kepada pelaksanaan ritual agama lain,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa menjaga batas akidah tidak bermaksud umat Islam boleh menghina, memusuhi atau berlaku zalim terhadap penganut agama lain, sebaliknya menjaga hubungan baik dan sikap saling menghormati tanpa mencampuradukkan urusan kebajikan dengan amalan ibadah agama masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pertubuhan, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan badan sukarela mengambil kira sensitiviti akidah umat Islam ketika merancang program gotong-royong antara agama.

“Program perpaduan boleh dilaksanakan menerusi aktiviti kebajikan seperti membersihkan kawasan perumahan, taman awam dan sekolah serta membantu golongan memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa.

“Perpaduan masyarakat majmuk perlu dibina atas asas saling menghormati pegangan agama masing-masing, di samping memastikan umat Islam terus memelihara akidah dan mematuhi tuntutan syariat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Jaga akidah ketika bersih rumah ibadat agama lain – Mufti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved